fbpx

Jom #sapotlokal, 6 filem tempatan terjah panggung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RASUK, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dan Wayang Puaka menjadi antara judul naskhah filem tempatan yang akan mengisi tontonan di pawagam tanah air tidak lama lagi.

SELEPAS lebih sebulan panggung wayang dibuka, industri pawagam tempatan kembali beroleh keyakinan menerusi kempen Jom #sapotlokal Filem 2021 yang dianjurkan oleh Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro dan Six Fun Media.

Jom #sapotlokal Filem 2021 merupakan sebuah kempen untuk memperomosikan filem tempatan terbaharu atau membekalkan filem akan datang kepada khalayak.

Kempen tersebut merupakan satu komitmen terhadap industri perfileman apabila pihak GSC bukan sahaja menayangkan filem tetapi turut memacu penghasilan filem Malaysia yang berkualiti.

Menurut pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid, pihaknya berasa bangga menyaksikan komitmen pihak Multimedia Entertaiment, GSC, Astro dan Six Fun Media melaksanakan inisiatif Jom #sapotlokal Filem 2021.

“Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan memastikan sektor perfileman terus diperkasakan sekali pun terkesan dengan penularan pandemik Covid-19,” ujarnya.

Sebanyak enam buah filem tempatan dipromosikan sempena kempen Jom #sapotlokal Filem 2021 di GSC Mid Valley baru-baru ini iaitu filem Biko lakonan Baby Shima dan Azrel Ismail, Rasuk (Alif Satar dan Elisya Sandha), Rumah Maduku Berhantu (Zizan Razak dan Rita Rudaini), 3 Janda (Khatijah Tan, Datin Marlia Musa dan Fasha Sandha), Airforce The Movie: Selagi Bernyawa (Aiman Hakim, Datuk Adi Putra dan Nas-T) serta Wayang Puaka.

BARISAN pelakon dan karyawan yang bersedia memberi komitmen sama-sama mempromosikan kempen Jom #sapotlokal Filem 2021, antaranya, Adibah Noor, Norman Hakim, Hyrul Anuar, Aiman Hakim Ridza dan Adi Putra.

Paling mendapat perhatian ialah filem Airforce The Movie: Selagi Bernyawa apabila turut menarik perhatian Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Affendi Buang diiringi Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad untuk hadir memberikan sokongan.

Dalam ucapannya, Affendi berkata penghasilan sebuah filem yang baik berupaya mengangkat semangat keseluruhan penonton.

“Negara kita memerlukan satu garapan baharu demi mengangkat semangat patriotisme serta memartabatkan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara menyeluruh.

“Saya percaya Airforce The Movie: Selagi Bernyawa telah berjaya mencapai satu tanda aras baharu dalam industri seni perfileman negara,” ujarnya.

PELANCARAN kempen Jom #sapotlokal Filem 2021 diharapkan akan mencetuskan bahang kemaraan semula semangat serbu panggung dalam kalangan peminat filem.

Sementara itu, Jeneral (Bersara) Tan Sri Datuk Amar Mohd. Ghazali Seth, Pengerusi Kumpulan Golden Screen Cinemas menzahirkan penghargaan kepada ATM atas bantuan dan penglibatan dalam filem tersebut.

“Filem ini membawa kita ke belakang tabir dan menyelami dengan lebih mendalam mengenai apa yang berlaku dalam kehidupan seseorang tentera udara.

“Seperti barisan hadapan yang berdepan Covid-19, tentera udara merupakan barisan pertahanan pertama kami dalam menghadapi ancaman luar demi keselamatan negara.

“Dengan adegan penuh aksi dan emosi, filem ini berskala epik dan saya berharap khalayak teruja menontonnya,” katanya.
Airforce The Movie: Selagi Bernyawa diharap bakal menjadi sebuah filem pecah panggung membawa harapan kejayaan besar sebagaimana filem ketenteraan sebelum ini iaitu Paskal The Movie (2018).
Airforce The Movie: Selagi Bernyawa bakal ditayangkan menjelang Ogos depan sempena bulan kemerdekaan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI