fbpx

Sumbat 156 karton arak dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua lelaki ditahan selepas disyaki membawa arak seludup dalam kejadian di Tanjung Kupang, Gelang Patah, di sini semalam.

JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 156 karton arak dipercayai tidak bercukai kastam bernilai RM121,582 setelah menahan dua lelaki tempatan di kawasan Forest City, Tanjung Kupang, dekat sini semalam.

Komander PPM. Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, dua suspek berusia 26 dan 30 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dibuat kira-kira pukul 6.30 pagi.

Katanya, anggotanya telah mengesan tiga kenderaan dalam keadaan mencurigakan masuk ke kawasan tersebut ketika sedang membuat pemantauan di kawasan persisir pantai Forest City.

Tambahnya, serbuan yang dibuat di kawasan parkir kenderaan bertingkat itu mendapati dua kereta berada di tingkat yang sama manakala sebuah lagi kereta di tingkat yang berbeza.

“Serbuan yang dibuat di kawasan meletakkan kenderaan bertingkat itu telah berjaya menangkap dua lelaki berkenaan manakala seorang lagi sempat melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas tiga kenderaan itu telah menjumpai pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai kastam di bahagian tempat duduk belakang dan but belakang kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan itu juga, tiga buah kereta jenis Mitsubishi Lancer, Hyundai Sonata dan Kia Cerato turut dirampas.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan arak dan tiga buah kenderaan berjumlah RM381,582.

“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI