fbpx
Kejadian pokok tumbang turut mengakibatkan beberapa buah kenderaan rosak dan terkandas namun semua kejadian tidak mengakibatkan sebarang kecederaan. - Foto IHSAN BOMBA KL

Pokok tumbang sekitar ibu kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Sebanyak empat kejadian pokok tumbang telah dilaporkan di sekitar ibu negara susulan hujan lebat dan angin yang kuat sejak petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan pokok tumbang pertama pada pukul 6.23 petang di Taman Rama-rama Cenderasari, Bukit Aman, Kuala Lumpur.

“Seramai enam anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah telah dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan dan kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa.

“Panggilan kedua pula pada pukul 6.39 petang di Jalan Perkasa, Taman Maluri, Kuala Lumpur dan sepasukan anggota serta pegawai dari BBP Pudu telah dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan seorang wanita bersama empat kanak-kanak yang terperangkap selepas rumah mereka ditimpa pokok tumbang namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.

Difahamkan, kejadian pokok tumbang turut mengakibatkan kerosakan ke atas beberapa buah kenderaan milik orang awam yang diparkir di bahu-bahu jalan namun tiada sebarang mangsa atau kecederaan dilaporkan.

Tambah kenyataan itu, pihak JBPM Kuala Lumpur seterusnya menerima panggilan berhubung kejadian pokok tumbang pada pukul 6.57 petang di Pondok Polis Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri dan di Taman Ikan Emas, Jalan Kaskas, Kuala Lumpur.

“Seramai 10 anggota berserta seorang pegawai telah dikejarkan ke lokasi dan pemeriksaan di lokasi setelah kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok tumbang mendapati kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa.

“Panggilan terakhir setakat ini diterima pada pukul 7.04 petang dan seramai tujuh anggota bersama seorang pegawai dari BBP Cheras telah dikejarkan ke Pangsapuri Indah Mas dan Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, tindakan anggota di lokasi adalah memotong serta mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan seterusnya memastikan kawasan persekitaran dalam keadaan selamat. – K! ONLINE