fbpx

NSL: Johor benam Perak untuk ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Goal shooter Johor, Nur Ezzaini Mohd. Nor (kanan) cuba merebut bola dengan goalkeeper Perak, B. Pavitra pada aksi separuh akhir NSL di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi

KUALA LUMPUR- Johor Jewels nyata berada dalam kelas tersendiri apabila memastikan tempat ke perlawanan akhir Netball Super League (NSL) selepas menewaskan Perak Phoenix 69-36 di separuh akhir sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara itu, Johor yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan menampilkan aksi yang cukup baik, terutama di bahagian tengah menerusi Centre, Pow Mei Foong.

Kecekapan goal shooter (GS), Nuraina Raziani dan goal attack (GA), Nur Ezzaini Mohd. Nor nyata memberi kelebihan buat Johor apabila mendahului 18-10 pada suku masa pertama.

Bersambung suku masa kedua, skuad kendalian Fazira Mesnan itu terus berada dalam kedudukan selesa apabila menambah 18 jaringan dan mendahului 36-21.

Semangat Perak seolah-olah direntap pada suku masa ketiga apabila Johor langsung tidak mengendurkan asakan, sebaliknya terus ‘membedil’ benteng pertahanan skuad bimbingan Almastara Mohd. Hasim itu.

Sebaik suku masa ketiga berakhir, tempat Johor dalam perlawanan akhir hampir terjamin apabila jauh meninggalkan Perak selepas mendahului 55-27.

Memandangkan sudah mendahului dengan selesa, Johor dilihat bermain lebih selamat selain memperlahankan permainan pada suku masa keempat, namun berjaya menambah jaringan sebelum melengkapkan kemenangan 69-36.

Menerusi kemenangan tersebut, Johor bakal membuat perhitungan dengan Kuala Lumpur (KL) Wildcats pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung esok (Ahad). -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN