fbpx

Enam tahun ‘hadap’ internet lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hazlina (tiga dari kiri) menyaksikan persembahan tarian ketika melakukan lawatan kerja di Mukim Tanjung Surat, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – Setiap hari sejak enam tahun lalu, kebanyakan penduduk di Kampung Linting di sini terpaksa pergi ke kawasan berhampiran laut semata-mata untuk mendapatkan capaian internet ekoran kelemahan rangkaian liputan te­lekomunikasi di rumah mereka.

Bagaimanapun, kesusahan penduduk bakal berakhir apabila dua pencawang telekomunikasi yang telah dipasang di kampung berkenaan akan berfungsi dalam tempoh terdekat.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil memberitahu, pencawang telekomunikasi itu telah dipasang di kampung berkenaan awal tahun ini.

“Pencawang sebenarnya sudah ada, cuma piringnya sahaja belum dipasang. Saya akan bertanya lanjut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengapa proses menaikkan piring itu belum lagi dilakukan.

“Saya yakin pihak MCMC juga sedang melaksanakan prosedur mereka untuk proses tersebut dan mungkin sedang mengenal pasti kontraktor untuk kerja-kerja pemasangan itu.

“Insya-Allah penduduk di sini akan dapat menikmati kemudahan rangkaian internet yang lebih memuaskan dalam masa terdekat seperti kampung-kampung lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja beliau di Mukim Tanjung Surat semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang, Fizwan Mohd. Rashidi.

Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Surat, Amin A. Rahman berkata, penduduk kampung tersebut berdepan masalah rangkaian internet yang lemah sejak tahun 2015.

“Line telefon ada, tetapi jika mahukan talian yang kuat terpaksa pergi berhampiran laut di kawasan terbuka. Macam di rumah saya apabila air surut, hanya ada satu atau separuh bar signal.

“Kalau air laut naik tinggi, barulah penuh sikit rangkaiannya. Di Kampung Belungkor ada pencawang juga, namun rangkaiannya hanya untuk jarak lima kilometer,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI