fbpx

Usaha sama MMC, Ramco Systems mulakan transformasi digital di pelabuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Konglomerat utiliti dan infrastruktur terkemuka Malaysia, MMC Corporation Bhd. (MMC) menjalin kerjasama dengan pemimpin penyelesaian perisian global, Ramco Systems untuk memulakan transformasi digital melibatkan lima pelabuhan milik kumpulan tersebut di seluruh negara.

Program transformasi itu me­libatkan gabungan dan penyera­gaman sistem Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) serta Johor Port Bhd. di Johor; Northport (Malaysia) Bhd. di Selangor; Penang Port Sdn. Bhd. di Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung Bruas Port Sdn. Bhd. di Melaka.

Perubahan keseluruhan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) pelabuhan akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai menjelang 2023.

Lebih 8,000 pekerja MMC di kesemua pelabuhan akan dima­sukkan ke dalam platform komputer atau peranti pintar bagi meningkatkan kecekapan proses perniagaan dan mengatasi kes kesalahan berulang serta membolehkan data lebih mudah dilihat dan diakses.

Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, transformasi itu akan dapat menjimatkan peruntukan kewangan bagi pelbagai sistem sebanyak 20 peratus.

“Ini kerana ia menggabungkan satu perisian yang mempunyai tiga hingga empat data pusat namun paling penting kami dapat mengembangkan perniagaan dan memberi pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar secara maya di sini semalam.

Che Khalib menjelaskan, pandemik koronavirus telah mendorong beberapa trend diberi tumpuan antaranya sektor e-dagang yang dilihat dapat memperkuat rantaian bekalan.

“Berbanding sebelum ini, kami lebih menyedari betapa pen­tingnya Kumpulan memastikan pelabuhan beroperasi dengan cekap dan melakukan proses pemulihan dengan pantas.

“Buat masa ini, sebanyak 79 sistem digunakan dan kami me­nyasarkan untuk mengurangkan kepada 30 sistem selaras usaha integrasi sistem baharu tersebut,” jelasnya.

Sistem itu juga akan mempunyai ciri-ciri pintar se­perti Kecerdasan Buatan (AI) dan Pem­belajaran Mesin (ML) yang akan memberi kefahaman lebih baik kepada pekerja serta amaran ramalan menerusi bot sembang pintar yang dapat mengurangkan kesalahan manusia.

Langkah tersebut akan mendorong Malaysia maju ke hadapan selaku pelabuhan kelas terbaik global yang memainkan peranan penting dalam mengatasi cabaran rantaian bekalan termasuk gangguan disebabkan Covid-19.

Berdasarkan implementasi yang dijalankan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, sistem baharu itu telah mencapai 90 peratus fasa Go-Live dalam tempoh 10 bulan yang menyediakan maklumat perniagaan dalam masa nyata secara digital.

MMC juga boleh menggabungkan pelbagai fungsi sokongan perniagaan meliputi aspek kewangan, sumber manusia, pe­ngurusan aset perusahaan, pe­ngurusan rantaian bekalan dan pengurusan logistik di seluruh pelabuhan mereka dalam sistem ERP bersepadu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI