fbpx

Pejabat agama nafi guru agama terlibat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bibir seorang kanak-kanak yang cedera selepas didakwa ditampar guru lelaki sebuah sekolah di Kulai, Isnin lalu.

KULAI – Pejabat Agama Daerah Kulai menafikan penglibatan guru sebuah sekolah agama yang didakwa menampar seorang murid tahun 1 seperti yang dilaporkan semalam.

Menurut kenyataan pejabat berkenaan, selepas melakukan siasatan, pihaknya mendapati kejadian itu berlaku di sebuah sekolah rendah dan bukan sekolah agama dalam daerah ini.

“Oleh yang demikian, kami telah melaksanakan siasatan berkaitan dengan keseluruhan sekolah agama di daerah Kulai dan mendapati tiada berlaku kes berkenaan di sekolah agama.

“Pihak kami telah berhubung sendiri dengan ibu berkenaan untuk mendapat penjelasan berkenaan dan beliau telah memberi kerjasama yang sangat baik berkaitan kes ini.

“Beliau turut menyebutkan bahawa tidak berlaku di sekolah agama dan ia berlaku di sekolah rendah,” jelas kenyataan tersebut.

Semalam, Kosmo! melaporkan seorang murid darjah satu ditampar seorang guru lelaki sehingga mengakibatkan bibirnya bengkak dan berdarah dalam satu kejadian, Isnin lalu.

Ibu pelajar itu, Ida Sofea Mohamed, 34, yang dihubungi memberitahu, guru lelaki berkenaan mengaku menampar murid berkenaan dan memberi alasan murid itu menangis dan tiada tanda hendak berhenti.

“Saya juga berasa kecewa dengan jawapan diberikan guru besar sekolah berkenaan yang hanya berkata ‘benda dah jadi’.

“Bagi saya, guru besar sebagai seorang pemimpin perlu lebih profesional dengan memberi janji bahawa perkara seperti itu tidak akan berulang,” ujarnya.

Ida Sofea bagaimanapun tidak mahu menyalahkan pihak sekolah 100 peratus kerana menyedari mungkin juga perkara itu berlaku atas kesilapannya dalam mendidik anak.

“Saya juga tidak mahu menyalahkan sekolah semata-mata, namun sepatutnya tindakan menghukum pelajar hanya menggunakan rotan dan dibuat oleh guru besar atau guru disiplin sahaja.

“Saya juga mahu pihak sekolah tahu bahawa sebarang perkara yang berlaku di sekolah akan diketahui ibu bapa melalui anak-anak yang akan bercerita apabila mereka pulang ke rumah,” jelasnya.

Pihaknya bagaimanapun enggan membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebaliknya hanya berharap kejadian seperti itu tidak berulang di masa depan.

Sehubungan itu, Kosmo! membuat ralat berhubung laporan terdahulu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI