fbpx

6 utas jam tangan Omega dibeli tunai RM142,410

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasanah keluar dari Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu sebanyak enam utas jam tangan berjenama Omega pelbagai model berharga antara RM20,000 hingga RM40,000 telah dibeli oleh seorang individu di sebuah butik jam tangan mewah di Pavillion Kuala Lumpur pada Mei 2018.

Perunding Jualan Chua Sook Shin, 29, yang bekerja di sebuah butik jam tangan mewah dalam pusat beli belah itu berkata, keenam-enam utas jam tangan tersebut dibayar secara tunai yang kesemuanya berjumlah RM142,410.

“Pada 3 Mei 2018, saya bertugas dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. Selain saya, turut bertugas pada hari itu adalah rakan sekerja saya bernama Jowy. Pada pukul 12 tengahari empat orang pelanggan lelaki telah masuk ke dalam kedai dan bertanyakan tentang beberapa jenis jam tangan jenama Omega.

“Saya kemudian telah membantu Jowy untuk melayan keempat-empat orang lelaki tersebut dan selepas diterangkan oleh Jowy, mereka (empat lelaki) memilih enam utas jam tangan tersebut,” katanya.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi pada perbicaraan kes pecah amanah RM50.4 juta Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Menurut saksi itu, model-model jam tangan yang dibeli itu ialah Omega Seamaster Aqua Terra, Omega Seamaster Diver 300, Omega Speedmaster Moonwatch dan Omega Constellation Ladies.

Kata saksi itu lagi, selepas lelaki tersebut membuat pembayaran RM142,410, dia kemudian telah mengeluarkan satu borang yang dikenali sebagai ‘customer relationship management form’ yang bertujuan untuk menyimpan data pelanggan selain turut mengeluarkan enam invois bagi pembelian jam tersebut.

“Saya tidak boleh camkan keempat-empat orang yang datang membeli jam itu kerana perkara ini sudah lama berlaku,” katanya.

Saksi itu memberitahu bagaimanapun pada bulan November 2018, seorang pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah datang ke kedai jam tangan tersebut dan bertanyakan butiran pembelian keenam-enam utas jam tangan tersebut.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Muhammad Ashraff Mohd. Diah, apakah prosedur biasa apabila seorang pelanggan datang untuk membeli jam, saksi itu mengatakan mereka perlu masuk dan tunggu.

“Pelanggan itu mention (memaklumkan) nak cari jam untuk dia, `boss’ dan seorang rakan,” katanya yang merujuk pada kes ini. – K! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI