fbpx

AS tuai kejayaan vaksinasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG RAMAI menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Apple Vallye, California pada 30 Mac lalu. - AFP

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mencatat kejayaan kelmarin selepas menjadi negara pertama mencapai pelalian 100 juta orang, namun kempen vaksinasi di Eropah berdepan halangan baharu manakala rantau Amerika Selatan mengetatkan sekatan susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di Brazil.

AS melaporkan pertumbuhan pesat peluang pekerjaan dan melonggarkan sekatan selepas sekitar separuh populasi dewasanya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin koronavirus. Presiden Joe Biden berjanji akan melengkapkan kempen imunisasi dalam masa beberapa minggu lagi.

Diterajui kebangkitan dalam industri hospitaliti, rekreasi, hiburan dan sukan, ekonomi AS mewujudkan sebanyak 916,000 pekerjaan setakat Mac lalu, kata Jabatan Buruh.
AS memulakan program vaksinasinya pada pertengahan Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, jangkitan masih meningkat di beberapa kawasan di AS sekali gus mendorong Biden menggesa orang ramai supaya terus memakai pelitup muka dan mengambil langkah pencegahan lain untuk menghentikan pandemik Covid-19 yang meragut lebih 2.8 juta nyawa di seluruh dunia.

“Saya merayu kepada anda. Jangan sia-siakan kemajuan yang kita semua berusaha keras untuk mencapainya.
“Kita perlu menyelesaikan tugas ini,” kata Biden dalam satu ucapan ringkas.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) sementara itu mengemas kini garis panduan untuk memberitahu bahawa penduduk yang telah mendapat suntikan vaksin Covid-19 boleh melakukan perjalanan tanpa kuarantin namun, masih perlu memakai pelitup muka.

AS merekodkan angka korban dahsyat membabitkan Covid-19 dengan lebih 550,000 kematian.

Jauh di seberang Lautan Atlantik, negara-negara Eropah terus bergelut untuk mempercepatkan vaksinasi manakala beberapa negara melaksanakan semula perintah berkurung yang tidak popular dengan Perancis melarang perhimpunan luar rumah melibatkan lebih enam orang.

Antara halangan kempen pelalian Kesatuan Eropah (EU) termasuk kebergantungan benua itu kepada vaksin AstraZeneca yang masih belum diluluskan di AS susulan beberapa laporan insiden darah beku.

Insiden seperti itu jarang berlaku sementara Agensi Ubat Eropah (EMA) menyatakan bahawa vaksin AstraZeneca adalah selamat.

Bagaimanapun, Belanda kelmarin mengikuti langkah Jerman untuk menangguhkan penggunaan vaksin tersebut kepada penduduk berusia bawah 60 tahun.

“Adalah lebih baik untuk berhati-hati. Itulah sebab kenapa kita membuat keputusan tersebut,” kata Menteri Kesihatan Belanda, Hugo de Jonge.

Hanya 10 peratus daripada keseluruhan populasi Eropah sudah menerima satu dos vaksin dan empat peratus menerima pelalian penuh Covid-19, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengarah WHO untuk Eropah, Hans Kluge menyifatkan kempen vaksinasi EU sebagai ‘perlahan dan tidak boleh diterima’.

Turut menyumbang kepada kelewatan tersebut adalah keputusan India yang digelar ‘Farmasi Dunia’ memperlahankan eksport vaksin berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara itu.

India kini meningkatkan kempen vaksinasinya dengan memberi pelalian kepada kumpulan penduduk berumur 45 tahun ke atas.

Di rantau Amerika Selatan, Brazil yang melaporkan lebih banyak korban pandemik berbanding mana-mana negara lain melainkan AS, merekodkan 66,500 kematian akibat Covid-19 pada bulan lalu sahaja.

Jangkitan di rantau Amerika Latin melonjak melepasi 25 juta, demikian menurut angka agensi berita AFP, dipercayai berpunca daripada varian Covid-19 superspreader yang lebih mudah berjangkit dan pertama kali dikesan di Brazil. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI