fbpx

Tarantula jentera perang berteknologi tinggi, setanding antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL menunjukkan plak Tarantula, iaitu nama kereta perisai mobiliti tinggi 4X4 (HMAV4X4) pertama Malaysia yang diperkenalkan di Kem Sungai Besi semalam.

KUALA LUMPUR – Syarikat automotif industri pertahanan tempatan, Mildef International Technologies (MILDEF) menghasilkan rekaan kenderaan berperisai Tarantula HMAV4x4.

Jentera perang pertama sepenuhnya buatan Malaysia itu menggunakan enjin tahan lasak, berteknologi tinggi dan mampu bertahan dalam apa jua situasi dengan kebolehan untuk bergerak pantas pada pelbagai bentuk muka bumi dengan kelajuan sehingga 110 kilometer (km) sejam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenderaan berperisai itu telah melalui pelbagai penilaian seperti ketahanan di lebuh raya, penggunaan minyak, ujian muatan, kecekapan, ujian mendaki cerun dan banyak lagi.

“Ujian berlangsung selama sembilan hari merangkumi perjalanan sejauh 700 kilometer (km) di atas jalan raya dan 300 km secara off-road termasuk beberapa ujian berhalangan lain.

“Tatacara uji nilai dilaksanakan mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Tentera Darat Malaysia setanding dengan pelaksanaan di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi 4×4 (HMAV4x4) di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini semalam.

Diambil daripada nama Tarantula iaitu kumpulan labah- labah bertaring yang besar, Tarantula HMAV4x4 berupaya melaksanakan pelbagai misi penting ketenteraan serta memberi perlindungan kepada kru kerana dilengkapi perisai bawahan Stanag 4569 Level 2B dan perisai badan Stanag 4569 Level 2.

Tarantula HMAV4x4 juga berupaya menembak menembak secara 360 darjah semasa bertempur dan memberi keupayaan kepada kru menembak sasaran dengan Sistem Senjata Kawalan Jauh dilengkapi paparan supaya mereka terlindung sepenuhnya.

Ia juga dilengkapi sistem persenjataan moden bersama grenade launcher dengan nisbah kuasa dan berat 24 kuasa kuda/tan.

Teknologi canggih pada Tarantula HMAV4x4 membolehkannya mengisi angin ke dalam tayar menggunakan Sistem Inflasi Tayar Berpusat yang boleh diakses daripada panel dashboard.

Bagi memudahkan pergerakan kru keluar masuk, pintu belakang Tarantula HMAV4x4 dilengkapi sistem hidraulik.

Secara umumnya, kenderaan berperisai buatan Malaysia itu memiliki ciri-ciri taktikal yang sesuai dengan aspek geografi dan iklim negara, namun Tarantula HMAV4x4 masih boleh diubah suai dengan mudah bagi memenuhi spesifikasi negara lain yang berminat membeli.

Jana pendapatan RM3 juta

ISMAIL (kiri) menandatangani plak perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Usahasama Yayasan Veteran ATM dan Pasukhas Development Sdn. Bhd. di Jalan Bernama semalam sambil disaksikan Muez (kanan) dan Affendi (dua dari kiri).

Sementara itu, Ismail Sabri berkongsi Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menjana pendapatan baharu berjumlah RM3 juta setahun menerusi pembinaan bangunan setinggi 51 tingkat berdekatan Jalan Tun Razak.

Projek hasil kerjasama dengan Pasukhas Development Sdn. Bhd. yang dijangka siap akhir tahun 2021 itu menelas kos keseluruhan sebanyak RM250 juta berkonsepkan pembangunan bercampur meliputi ruang pejabat dan komersial serta kediaman.

Ismail Sabri berkata, ia adalah langkah jangka panjang bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Yayasan Veteran ATM.

“Pelaburan itu bagi memenuhi keperluan operasi terutama penyaluran dana kebajikan kepada veteran ATM dan tanggungan selain mengurangkan kebergantungan terhadap sumber kewangan kerajaan.

“Yayasan Veteran ATM dijangka mendapat pendapatan kasar berjumlah RM3 juta setahun melalui sewaan pejabat dan dewan serbaguna,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Usahasama Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Pasukhas Development Sdn. Bhd. di sini semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Mengulas lanjut mengenai projek berkenaan, Ismail Sabri berkata, pembangunan berkenaan bersifat mesra perniagaan kerana disokong infrastruktur yang menghubungkannya dengan beberapa lokasi strategik termasuk hotel dan pusat beli-belah.

“Manfaat yang bakal diterima antaranya ialah 58,000 kaki persegi ruang pejabat untuk disewakan, 3,000 kaki persegi pejabat yayasan, 25 buah parkir kereta, dewan serbaguna serta wang tunai berjumlah RM2 juta,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI