fbpx

Rap, mesej mendalam Masked Wolf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASKED WOLF

SERING dinyanyikan dengan nada kecil dan sedikit ‘swag’ ketika memandu kereta, sedang mandi waima sebelum melelapkan mata yang terkebil-kebil mengejar mimpi di kamar tidur, karya bertajuk Astronaut In The Ocean merupakan antara lagu kegemaran penulis.

Lagu berkenaan merupakan nyanyian penyanyi kelahiran Australia yang menggelarkan dirinya sebagai Masked Wolf atau nama sebenarnya, Harry Michael.

Kalau disumbat dalam pemikiran khalayak, lagu berkenaan mempunyai nilai yang begitu cocok dengan kebanyakan daripada kita.

KARYA hip hop rap Masked Wolf diluncurkan semula selepas dia bernaung di bawah label AS. Lagunya kini sedang menjadi siulan ramai dan kian mendaki carta popular global.

Apa yang kita faham berdasarkan pada judulnya? Angkasawan di lautan, adakah itu satu perkara yang mungkin atau lazim untuk dilunaskan manusia?

Secara peribadi, karya tersebut merupakan antara lagu berstatus genius pada tahun 2021 yang penuh dengan dugaan. Cukup ramai yang terkesan dari aspek mental, kewangan dan sosial disebabkan satu musibah yang masih berdegil untuk berlalu pergi, Covid-19.

Mendalam, tersendiri

Berbalik soal sisi teknikal dan kualiti Astronaut, karya berkenaan berdiri dengan genre hip hop atau rap dengan ‘twist’ (pusingan) tersendiri.

Berdurasi dua minit 12 saat, tiada momen ‘dull’ yang terkandung dalam lagu tersebut. Apa yang dinyanyikan Masked Wolf adalah paduan rap penuh dengan energi, peringatan dan mesej mendalam yang boleh dijadikan pembakar semangat untuk melakukan apa sahaja dalam hidup.

Frasa ‘whatchu know about rolling down in the deep’ pada permulaan muzik dan juga bahagian korus, satu pergerakan yang bijak. Sebagai balasan, cukup mudah lagu berkenaan melekat di halwa telinga sesiapa yang mendengar.

Masked WOLF atau nama sebenarnya Harry Michael merupakan penyanyi di sebalik antem hit, Astronaut In The Ocean yang diluncurkan pada 2019.

Kualiti rap Masked Wolf? Cukup menyegarkan dan bertenaga! Kalau lelaki itu bertanding di gelanggang tinju, dia akan berhempas-pulas untuk memastikannya pulang dengan tali pinggang kemenangan yang menjadi simbolik kejuaraan.

Barangkali itulah yang dirasa setiap kali mendengarkan bahagian rap yang dijayakan Masked Wolf. Terinspirasi untuk menjayakan sesuatu dengan cemerlang.

Pada masa sama, lagu tersebut juga mengingatkan kepada karya Old Town Road nyanyian Lil Nas X yang merupakan antem paling lama bertahan di puncak Billboard Hot 100 iaitu 19 minggu.

Sekadar peringatan, Astronaut diluncurkan pertama kali pada 2019 dan hanya meraih kejayaan yang suram sebelum dilancarkan semula selepas Masked Wolf mengikat kontrak dengan label Amerika Syarikat.

Hal tersebut membuktikan ada banyak ruang yang terbentang untuk mengecap kejayaan. Resepinya mudah, hanya sekelumit ‘rempah’ yang dipanggil sebagai peluang dan kesungguhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI