fbpx
Tangkap layar gambar perkahwinan Neelofa yang tular di media sosial sehingga mendapat kecaman ramai sebelum ini.

Pengurus majlis, pembantu peribadi Neelofa hadir beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pengurus majlis pernikahan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd. Noor dan pendakwah bebas Muhammad Haris Mohd. Ismail hari ini hadir bagi membantu siasatan berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di majlis pernikahan selebriti itu Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Pemilik dan pengurus majlis, Faiz Sabari bersama isterinya, Rozana Mumtaz Mohd. Ashraff dilihat hadir beberapa minit selepas pembantu peribadi Neelofa, Nadiah Khairuddin bersama seorang wanita yang didakwa merupakan peguam kepada Neelofa turut tiba di IPD Dang Wangi kira-kira pukul 11.40 pagi tadi.

Faiz yang ketika didekati wartawan selepas kira-kira dua jam memberi keterangan bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.

“Tiada apa nak cakap, semua ok,” katanya ringkas sebelum beredar bersama-sama isterinya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan komen daripada pembantu peribadi serta peguam Neelofa juga tidak berjaya apabila kedua-dua mereka enggan memberi sebarang komen selepas keluar dari IPD Dang Wangi kira-kira pukul 2.05 petang.

Terdahulu, Kosmo! malam tadi melaporkan pasangan terkenal itu didakwa telah pergi berbulan madu di Langkawi, Kedah.

Laporan itu susulan tular beberapa keping gambar pasangan berkenaan berada di sebuah lapangan terbang dipercayai menuju ke pulau peranginan terkenal tersebut.

Sabtu lalu, pasangan itu disatukan dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, tular satu gambar di media sosial mendakwa majlis yang dianjurkan itu tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Susulan daripada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah pada Ahad dilaporkan akan memanggil pengurus majlis pernikahan dan beberapa orang saksi lain termasuk pekerja hotel untuk memberi keterangan. – K! ONLINE