fbpx

Ada orang suruh saya tumbuk Zulfarhan – saksi pembelaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan arwah Zulfarhan bersama kedua ibu bapanya.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu oleh seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bahawa ada seseorang menyuruhnya menumbuk pegawai kadet laut Zulfarhan Osman Zulkarnain di dalam biliknya di universiti berkenaan.

Saksi pembelaan ke-20 Muhammad Alif Farhan Aerosni ,25, berkata bagaimanapun dia tidak dapat mengenal pasti individu yang menyuruhnya bertindak sedemikian dalam kejadian 2.05 pagi 22 Mei 2017.

“Saya sampai di bilik 4-10 (bilik saksi itu) masa itu bilik gelap, semua orang tengah duduk di tempat duduk mereka. Mereka tanya saya hendak buat apa, saya menjawab hendak mengambil telefon bimbit.

“Pada masa sama ada seseorang menyuruh saya menumbuk arwah (Zulfarhan) namun saya hanya tepuk bahunya (Zulfarhan). Saya terus mengambil telefon bimbit dan keluar dari bilik itu dan ke bilik 4-11,” katanya.

Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Ranjit Singh Dhillion yang mewakili tertuduh ketiga, Muhammad Najib Mohd. Razi pada prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Saksi yang mengaku mengenali Zulfarhan itu turut menjelaskan, semasa dia berada di bilik 4-10, keadaan bilik suram, kurang cahaya dan  ramai kadet namun pada masa sama tidak mendengar serta melihat kadet-kadet itu menyoal Zulfarhan.

Dalam prosiding sama, ketika ditanya peguam Amer Hamzah yang mewakili tertuduh pertama Muhammad Akmal Zuhairi Azmal,  adakah saksi nampak anak guamnya membuat buat apa-apa di bilik 4-10, saksi itu menjawab dia tidak nampak Muhammad Akmal Zuhairi buat apa-apa.

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya N.Joy Jothi, adakah saksi bersetuju individu yang menyuruhnya menumbuk Zulfarhan adalah tertuduh keenam, Abdoul Hakeem Mohd Ali, saksi menjawab, “Tidak Setuju”.

Selain itu, berkaitan dengan cadangan Joy Jothi, adakah ketika kejadian keadaan Zulfarhan berikat , tidak berbaju dan memakai seluar pendek, saksi menjawab dia tidak bersetuju kerana ketika kejadian Zulfarhan tengah berdiri, tidak memakai baju dan tangan tidak berikat.

Muhammad Alif Farhan juga tidak bersetuju dengan cadangan Joy Jothi bahawa keterangan saksi itu tidak sepenuhnya benar dan hanya untuk menyelamatkan rakan-rakannya yang telah dituduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung lagi Khamis ini.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI