fbpx

K2

Menitis air mata terima e-mel daripada FIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAGI menjadikan ulasan yang diberi berkesan, Muhammad Hafiz perlu membuat kajian terlebih dulu.

LONTARAN suara yang jelas dan penuh bersemangat daripada Muhammad Hafiz Sudin ketika mengulas perlawanan bola sepak di ‘padang’ elektronik merancakkan perlawanan yang sedang berlangsung secara maya lewat petang itu.

Menjadikan ‘padang bola sepak’ sebagai pentas persembahan, lelaki berusia 35 tahun ini diibaratkan seperti ‘penyeri’ utama dalam setiap perlawanan yang diulasnya.

Biarpun mengulas di sebalik paparan skrin, namun tanggungjawab yang digalas begitu besar.

Bukan sekadar mahu memastikan dirinya memberikan persembahan dengan ulasan yang berkualiti kepada para penonton, anak sulung daripada tiga orang adik- beradik ini juga mahu memastikan penonton terhibur dan merasa seperti sedang berada di stadium menyaksikan perlawanan bola sepak sebenar.

Kualiti dan gaya ulasan yang penuh versatil itu menyebabkan lelaki yang senang dipanggil Abe ini dipilih secara rasmi oleh Persekutan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Muhammad Hafiz atau lebih mesra disapa Abe diberi tanggungjawab sebagai pengulas kejohanan Piala Dunia Kelab eFIFA (eFIFA), selepas pasukan elektronik tanah air FIFA21, GBX Esports dan Wicked Esports layak ke kejohanan tersebut.

Pemilihan itu lantas menjadikan Abe sebagai anak Malaysia pertama yang dipilih oleh FIFA bagi mengulas di kejohanan tersebut dalam bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu.

Ini menunjukkan pengiktirafan buat industri e-Sukan tanah air terutamanya bagi permainan video FIFA.

“Peluang ini telah lama saya nantikan sejak berkecimpung dalam dunia pengulasan bola sepak elektronik.

“Perasaan bercampur baur dan tiada kata yang mampu diungkapkan melainkan linagan air mata tatkala menerima e-mel daripada FIFA yang menyatakan saya terpilih sebagai pengulas rasmi untuk kejohanan berkenaan,” katanya.

MUHAMMAD HAFIZ menjadi anak Malaysia pertama dipilih untuk mengulas kejohanan eFIFA dalam bahasa Melayu.

Berkecimpung dalam dunia ulasan bola sepak sejak tujuh tahun lalu, Abe menyifatkan ia sebagai satu pengalaman yang sangat berharga dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Bercerita lanjut menurut Abe, minatnya dalam arena permainan video mula terbit sejak kecil lagi.

Begitupun pada tahun 2000, dia mula bergiat aktif dalam dunia e-Sukan bermula dengan menyertainya sebagai peserta kejohanan sehingga menjadi pengulas.

“Saya memulakan perjalanan sebagai pengulas e-Sukan bukan pada acara bola, tetapi permainan video Dota 2 sewaktu di universiti dahulu.

“Satu hari, saya mencabar diri untuk cuba menjadi pengulas sukan bola sepak elektronik menerusi uji bakat yang dijalankan sebuah kelab e-Sukan, Garena. Saya berjaya lulus pada percubaan tersebut. Daripada situlah saya mencipta lembaran baru sebagai seorang pengulas sukan bola sepak elektronik.

“Di situ jugalah saya diajar bagaimana mahu menjadi seorang pengulas sukan bola sepak elektronik yang berkredibiliti,” ceritanya lanjut.

Berkecimpung selama tujuh tahun dalam dunia pengulas bola sepak e-Sukan, Abe telah mengulas lebih 150 perlawanan pada pelbagai kejohanan, selain bekerjasama dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

Antaranya FIFA, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), La Liga Esports (La Liga Spain), Virtual Bundesliga (Bundesliga Germany) serta EA Sports.

Biarpun telah lama bertapak di dalam industri pengulas sukan, namun menurut Abe, pemilihannya sebagai pengulas di peringkat antarabangsa dibuat selepas dia melalui beberapa siri tapisan dan perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan FIFA.

“Saya sendiri tidak pasti apa yang dicari oleh FIFA. Tetapi mungkin saya berjaya memenuhi kriteria yang mereka inginkan dan melepasi tapisan, sekali gus menambat hati para juri.

“Ada dua tapisan yang perlu dilalui yang mana di tapisan pertama, saya diminta untuk menghantar profil diri kepada FIFA dan video pendek bagi menilai kemampuan bertutur dengan lancar dan yakin di hadapan kamera.

“Manakala pada tapisan kedua pula, saya diminta untuk membuat ulasan video dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris,” terangnya.

Mengulas secara langsung menerusi platform media secara maya mungkin dilihat tiada bezanya seperti mengulas di padang sebenar kerana isi yang ingin disampaikan tetap sama.

Begitupun ironinya terdapat perbezaan antara dua medium tersebut. Jelasnya lagi, kedua-dua platform itu mempunyai perbezaan dari segi masa, tempo dan dan ketahanan.

“Jika bola sepak di padang, pengulas mempunyai 90 minit untuk membuat ulasan perlawanan secara penuh. Bagaimanapun, bagi pengulas sukan elektronik, saya hanya mempunyai antara 12 hingga 15 minit untuk mengulas satu-satu perlawanan.

“Dalam waktu itu jugalah saya perlu mengulas dengan penuh bersemangat, menerangkan perlawanan dengan emosi penuh, membincangkan strategi dan lain-lain lagi dalam masa singkat.

“Dari segi tempo pula, apabila masa untuk mengulas itu singkat, maka tempo percakapan akan menjadi semakin laju. Berbeza dengan ulasan bola sepak padang,” terangnya.

KARIER Muhammad Hafiz sebagai pengulas sukan bola sepak elektronik selepas menjalani uji bakat yang diadakan oleh kelab e-Sukan, Garena tujuh tahun lalu.

Katanya, dari segi ketahanan pula secara purata bagi saya, ia mungkin berbeza mengikut peraturan dan format sesuatu kejohanan. Tiga perlawanan dalam satu set selalunya mengambil masa satu jam.

“Jadi, dalam satu hari, saya mungkin akan mengulas kira-kira enam perlawanan. Jika kita kaitkan dengan faktor tempo dan masa, ketahanan merupakan faktor yang sangat penting sebagai seorang pengulas sukan bola sepak elektronik,” ujarnya.

Biarpun mengulas secara maya, namun tugas yang dipikul sama beratnya seperti di stadium. Justeru, Abe akui dia perlu sentiasa mempersiapkan diri sebelum mengulas mana-mana perlawanan.

“Dalam sebarang pekerjaan, persiapan adalah kunci untuk melaksanakan apa jua tugas. Sebagai pengulas sukan bola sepak elektronik juga tiada bezanya.

“Bagi saya, antara perkara yang wajib dilakukan adalah mempersiapkan diri dengan pemahaman terhadap sukan bola sepak itu sendiri. Ini kerana, di atas padang mahupun dalam dunia maya, bola sepak dan segala aspek sama sahaja dan tidak berubah.

“Disebabkan bola sepak di alam maya dimainkan menggunakan controller, pelbagai corak permainan, kawalan, statistik dalam permainan video dan kesemua permainan video perlu dikuasai.

Semua itu yang akan diulas. Jika susah untuk difahami, hasilnya tidak akan memuaskan,” katanya.

Tidak hanya memerlukan persiapan dari segi mental, aspek kesihatan terutamanya suara perlu dijaga sebaik mungkin.

Mengulas hampir tujuh atau lapan jam sehari memberi kesan kepada penonton dengan ulasan dibuat. Jika suara tidak dijaga, maka output akan menjadi kurang berkesan, dikhuatiri gagal memberi persembahan terbaik.

“Saya berharap profesion pengulas dapat diketengahkan lagi sebagai satu komponen penting dalam acara sukan kerana merekalah yang mampu menghidupkan suasana.

“Siapa tahu mungkin pada masa depan akan ada anak Malaysia yang mengulas acara bola sepak antarabangsa yang berprestij dalam bahasa Melayu secara rasmi,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI