fbpx

Vintage buat kejutan pada saingan PUBGM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGULAS e-Sukan, Lutfil Hadi (kiri) bersama Aiman Roshizam mengendalikan pusingan kelayakan kejohanan MES 2021di Taman Perindustrian Kinrara Puchong, Selangor semalam. – FAUZI BAHARUDIN

PASUKAN e-Sukan amatur, Vintage yang diketuai penjaga gol profesional pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohd. Shahril Sa’ari berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir saingan Playerunknown Battleground Mobile (PUBGM) pada kejohanan Malaysia Esports Series (MES) 2021 musim ini.

Pada aksi kelayakan yang berlangsung kelmarin, Vintage berjaya meraih satu kemenangan Winner Winner Chicken Dinner, selain merekodkan 33 kills untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua daripada 16 pasukan.

Malah, hanya satu mata memisahkan pasukan Vintage yang meraih 73 mata secara keseluruhan berbanding skuad di kedudukan tertinggi pada sesi kelayakan pertama, The Next Level.

MOHD. SHARIL mengetuai pasukan e-Sukan bergelar Vintage melangkah ke peringkat separuh akhir PUBGM pada kejohanan MES 2021 kelmarin.

Kata Shahril, ini adalah percubaan pertama pasukannya untuk bersaing di peringkat tertinggi e-Sukan sekali gus menguji tahap kepakaran mereka dalam permainan popular PUBGM.

“Alhamdulillah, kami berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir MES kali ini. Perasaan saya dan rakan sepasukan semua sangat berbangga kerana kita tahu ini adalah kejohanan e-Sukan berskala besar.

“Pasukan yang bertanding dalam saingan MES adalah cukup hebat dan kami perlu kekal fokus sekiranya berhasrat untuk melangkah lebih jauh pada kejohanan kali ini dan sasaran pasukan sudah tentulah pentas Grand Final,” katanya.

Penjaga gol berusia 31 tahun itu turut gembira melihat perkembangan industri e-Sukan yang semakin mendapat tempat bukan sahaja golongan remaja tetapi dalam kalangan atlet dan pekerja profesional.

“Dalam skuad Vintage terdiri daripada lima pemain yang mana dua pemain bagi kategori bola sepak profesional termasuk saya dan Fakhrul Aiman Sidid daripada Kuala Lumpur City FC (KL City).

“Seorang lagi adalah Daudsu Jamaludin yang merupakan bekas pemain Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kemudian kami diwakili oleh dua anggota polis dan seorang pembantu perubatan.

“Secara peribadi, saya berpendapat permainan video e-Sukan adalah medan untuk kami semua melepaskan tekanan selepas penat dengan tugas dan kerja harian.

“Justeru, saya percaya industri e-Sukan perlu dipandang dengan lebih positif dan saya tidak terkejut apabila ia semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat ketika ini,” katanya.

Saingan separuh akhir kategori PUBGM akan berlangsung hari ini dan peminat e-Sukan tanah air boleh menonton penstriman secara langsung menerusi laman Facebook rasmi MES.

AIMANULHAQ

Dalam perkembangan sama, Pengasas THQ Esports Club yang juga penganjur bersama MES, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin mengesahkan bahawa penyerang KL City, Safee Sali bersetuju menjadi duta bagi permainan video FIFA 21 pada kejohanan edisi kali ini.

“Semua orang tahu nama Safee cukup besar dalam industri sukan di Malaysia khususnya bola sepak. Justeru, saya sangat gembira apabila dia memberi komitmen untuk menjadi duta bagi saingan FIFA pada kejohanan MES kali ini.

PENYERANG KL City, Safee Sali bersetuju menjadi duta bagi permainan video FIFA 21 kejohanan MES edisi ini.

“Dia bersama pemain profesional FIFA negara, Nur Amirul Afandi yang lebih terkenal dengan nama AmTuah, mungkin akan bersama di studio kami pada aksi grand final pada awal bulan depan,” katanya.

Saingan MES kali akan mengumpulkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM100,000 dengan RM20,000 bagi FIFA, RM 40,000 (Mobile Legends) dan RM40,000 juga bagi permainan PUBG.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI