fbpx

Larian obor Olimpik bermula di Fukushima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN bola sepak wanita Jepun, Azusa Iwashimizu (kiri) mengetuai larian obor Olimpik di sekitar wilayah Fukushima bersama rakan sepasukannya sebagai simbolik sebelum temasya tersebut berlangsung Julai nanti. – AFP

FUKUSHIMA, Jepun – Kehangatan Sukan Olimpik 2020 yang akan berlangsung di Tokyo pada Julai depan semakin dirasai apabila larian obor temasya berkenaan bermula di wilayah Fukushima meskipun negara itu masih lagi diancam wabak Co­vid-19.

Pada majlis yang berlangsung di Kompleks J-Village itu, sebahagian besar pemain bola sepak kebangsaan wanita Jepun membawa obor di sekitar wilayah itu sebagai simbolik sebelum menanti upacara pembukaan rasmi pada 23 Julai depan.

Pengarah Jawatankuasa Sukan Olimpik 2020, Seiko Hashimoto berkata, nyalaan obor Olimpik buat kali pertama itu boleh dianggap sebagai simbol harapan buat seluruh rakyat Jepun bagi menyaksikan pe­nganjuran temasya sukan terbesar dunia itu dapat direalisasikan.

“Sejak awal tahun lalu, dunia dilanda dengan cabaran yang cukup hebat apabila kehadiran pandemik Covid-19 boleh dikatakan melumpuhkan banyak industri khususnya arena sukan antarabangsa.

“Justeru, saya harap apabila api pada obor Olimpik ini dihidupkan, ia mampu menjadi simbolik bahawa semangat perjuangan khususnya rakyat Jepun tidak pernah pudar dalam usaha menyaksikan penganjuran Sukan Olimpik dilangsungkan buat kali kedua di Jepun sejak edisi 1964,” katanya.

Sebelum ini, beberapa atlet dan legenda sukan Jepun telah mengesahkan bahawa mereka tidak akan menyertai upacara nyalaan obor Olimpik itu kerana masih takut dengan ancaman pandemik Covid-19.

Malah, Perdana Menteri Je­pun, Yoshihide Suga turut tidak menghadiri upacara tersebut kerana pertindihan jadual de­ngan persidangan parlimen yang berlangsung ketika ini.

“Saya harap jawatankuasa penganjuran dapat mengikuti setiap prosedur operasi stan­dard (SOP) sekali gus memberi jaminan terhadap kesejahteraan rakyat Jepun,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI