fbpx

Belum bernoktah, Nabila kenal siapa kawan, siapa lawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABILA RAZALI

PETALING JAYA – Penyanyi Nabila Razali tidak akan berhenti menyanyi biarpun persembahannya di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) menerima pelbagai reaksi umum.

Penyanyi lagu Peluang Kedua itu berkata, dia mengambil masa sehari untuk mengumpul semula semangat dan bangkit meneruskan perjuangan dalam bidang seni.

“Belum masanya lagi untuk saya berhenti menyanyi kerana masih banyak yang ingin dilakukan. Tipulah jika saya tidak bersedih kerana mata saya juga jelas seperti selepas menangis.

“Kesilapan yang dilakukan bukan sesuatu yang disengajakan dan semestinya saya terkilan kerana mengecewakan pencipta lagu. Apa yang berlaku mengajar saya untuk menjadi lebih kuat dan bangkit.

“Keluarga juga turut terpalit dengan apa yang berlaku, namun ibu lebih kuat berbanding saya. Ibu bapa menjadi sumber kekuatan yang membuatkan saya bangkit untuk terus memberikan yang terbaik,” kata Nabila kepada Kosmo Online!

Terbaharu, Nabila melancarkan kolaborasi bersama Big Mouth sebuah syarikat yang mengedarkan dan memasarkan kek lapis Sarawak ke Semenanjung Malaysia dalam sebuah majlis di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur malam tadi.

Mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan, Nabila mengetengahkan kuih tradisi kek lapis Sarawak premium dengan nama lagu yang pernah dipopularkannya sebelum ini.

Pelantun lagu Vroom Vroom itu turut menitipkan ucapan tahniah kepada para pemenang AJL35 kerana belum berpeluang untuk berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan seperjuangannya.

“Boleh dikatakan sepanjang minggu persembahan saya menjadi bualan hangat, saya tidak mahu dikatakan sengaja meraih publisiti sekiranya bersuara ketika isu sedang ‘panas’. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang.

“Selain itu, saya juga tidak menyangka mereka yang pernah duduk semeja dan mencari rezeki dalam bidang yang sama, memberikan reaksi negatif terhadap persembahan saya. Tidak perlu untuk saya sebutkan nama mereka, tetapi kini saya lebih tahu siapa kawan siapa lawan,” kata Nabila.

Pada pentas AJL35 yang berlangsung Ahad lalu, nama Nabila meledak dalam media sosial selepas persembahannya tercalar kerana suaranya terkucil ketika menyampaikan lagu Peluang Kedua ciptaan Hael Husaini dan MFMF.

Selain dikecam teruk dalam media sosial, kegagalan Nabila turut mengundang reaksi simpati dalam kalangan selebriti yang masing-masing turut menyuarakan pandangan dan sokongan moral terhadapnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI