fbpx
Ayob Khan menyampaikan pingat dan sijil penghargaan kepada Calvin Maluni pengendali Unit Pengesan Anjing K9, Barny sempena Sambutan Hari Polis ke-214 di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

Anjing K9 antara 139 penerima anugerah Ketua Polis Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU- Dua ekor anjing pengesan dari Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor antara 139 penerima Anugerah Ketua Polis Johor sempena Sambutan Hari Polis Ke-214 hari ini.

Kedua-dua anjing jenis German Shepherd itu dikenali sebagai Mailo dan Barny menerima penghargaan berkenaan di atas kejayaan mengesan mayat sehingga dapat menyelesaikan beberapa kes berprofil tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyampaikan pingat, sijil penghargaan dan makanan kepada kedua-duanya melalui pelatih mereka, Lans Koperal K. Thiru (Mailo) dan Lans Koperal Calvin Maluni (Barny).

Ayob Khan ketika ditemui berkata, antara kejayaan berkenaan ialah menyelesaikan kes pembunuhan seorang wanita berusia 38 tahun yang mati ditembak suaminya sendiri di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, pada 1 Mac lalu.

“Mailo dan Barny juga berjaya membantu kita menyelesaikan kes pembunuhan seorang pesara polis, Su Kim Chiang, 57, dengan penemuan mayat yang ditanam di sebuah ‘kubur’ di Kampung Selatan Kahang, Kluang pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan Hari Polis Ke-214 di IPK Johor, di sini hari ini.

Terdahulu, Ayob Khan menerima tabik hormat serta memeriksa perbarisan kawalan kehormatan melibatkan 500 pegawai dan anggota IPK Johor serta penjawat awam.

Ayob Khan seterusnya membaca perutusan Ketua Polis Negara, sebelum menyampaikan sijil penghargaan kepada 139 penerima terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta orang awam serta 27 penerima sijil penghargaan Ketua Polis Negara.- K! ONLINE.