fbpx

Masih rahsia jantina anak, Miera potong rambut pendek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Miera Liyana dan suami.

PETALING JAYA – Debaran bakal bergelar ibu semakin terasa buat pelakon, Miera Liyana yang dijangka bersalin pada bulan hadapan.

Miera, 27, berkongsi, dia baru saja memotong pendek rambutnya paras bahu semalam gara-gara cuaca panas dan persiapan bakal menjalani proses berpantang tidak lama lagi.

“Alhamdulillah. Tidak sabar menantikan kehadiran si kecil yang bakal menyerikan rumah tangga saya dan suami. Selepas memuat naik gambar dalam Instagram, ada juga yang memberikan cadangan nama buat bayi yang bakal lahir tidak lama lagi.

“Saya mengambil keputusan pada hari ini (semalam) untuk memotong pendek rambut paras bahu kerana cuaca yang semakin panas. Apatah lagi, selepas ini rambut akan disanggul untuk berpantang selama 44 hari.

“Masih lagi tidak mahu mengumumkan jantina anak sulung kami. Saya berharap orang ramai mendoakan kesihatan kami berdua. Semoga semuanya berjalan lancar nanti,” kata Miera kepada Kosmo! Online pada majlis sempena menyambut bayi anjuran keluarga mentuanya di Hotel St Regis, Kuala Lumpur semalam.

Mengulas mengenai jantina bayi, Miera menjelaskan, dia dan suami, Rosland Othman, 48, memilih untuk tidak mengetahuinya. Mereka menerima secara terbuka yang mana kesihatan bayi menjadi keutamaan.

Miera dan suaminya yang juga usahawan itu disatukan pada 26 Julai tahun lalu yang berlangsung di sebuh hotel terkemuka di ibu negara dengan kehadiran ramai tetamu kenamaan.

“Memandangkan negara berdepan dengan Covid-19, saya sendiri jarang keluar dan tidak berpeluang berjumpa kenalan rapat dan keluarga. Tema pada hari ini adalah tona warna lembut jadi jantina bayi masih lagi samar-samar.

“Ada juga yang meneka daripada bentuk perut dan sebagainya. Saya dan suami memilih untuk mengunci mulut kerana lebih baik begitu,” kata Miera secara ringkas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI