fbpx

Wahai penguat kuasa, insaflah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
JAMDI NASIR, PENOLONG PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

BEBERAPA hari kebelakangan ini, Kosmo! melaporkan mengenai sebilangan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan reman selepas disyaki mengutip wang haram daripada pemandu lori yang melanggar peraturan jalan raya.

Operasi penahanan besar-besaran melibatkan beberapa negeri itu merupakan siri terbaharu selepas berpuluh-puluh pegawai penguat kuasa JPJ ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Julai tahun lalu.

Ketika itu, mereka yang terdiri daripada penguat kuasa JPJ Gred 19 hingga 32 didakwa mendapat habuan lumayan antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu ‘lori kebal undang-undang’, selain turut membocorkan maklumat operasi pemeriksaan JPJ.

Kali ini pula melibatkan sekumpulan kakitangan JPJ yang menerima sogokan serendah RM150 hingga RM3,000 setiap bulan dengan nilai keseluruhan RM1.64 juta bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan khususnya membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal kenderaan.

Siri tangkapan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa itu membayangkan masih ramai anggota di bahagian penguatkuasaan sama ada JPJ, Jabatan Imigresen (kes melepaskan kemasukan warga China di pintu masuk negara), Kastam Diraja Malaysia, polis serta beberapa jabatan lain termasuk terkini anggota Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang masih tidak serik untuk menerima sogokan.

Mereka ini mungkin geli-geleman jika dihidangkan daging babi atau bangkai kerana faham haram dan kotor di sisi agama Islam. Mereka juga mungkin tidak sanggup jika diberikan minuman arak kerana boleh memabukkan, malah mereka ini menolak jika ditawarkan wanita untuk berzina kerana akibatnya boleh melahirkan anak zina.

Bagaimanapun, kita hairan mengapa golongan penerima sogokan ini tidak berasa jijik jika dihulurkan dengan wang rasuah. Apakah mereka tidak sedar dosa menerima rasuah itu merupakan dosa berantai yang sangat sukar untuk disucikan dan diampunkan oleh Allah SWT.

Mereka lupa akibat menerima rasuah daripada pemandu lori membawa lebih muatan, jika kenderaan berat tersebut gagal dikawal lalu melanggar mati pengguna jalan raya lain. Apakah mereka ini tidak turut menanggung dosa? Bagaimana jika si mati menanggung anak-anak kecil atau ibu bapa yang uzur?

Bagaimana pula jika seorang anggota kastam contohnya melepaskan aktiviti penyeludupan dadah dan senjata api. Kemudian dadah tersebut menyebabkan penagihnya merompak, menyamun atau mungkin membunuh untuk mendapatkan wang.

Begitu juga akibatnya jika anggota Jabatan Imigresen melepaskan warga asing keluar masuk dengan mudah ke negara ini dan kemudiannya menjadi anggota sindiket penipuan (Macau scam) yang menyebabkan ramai mangsa menjadi muflis, bercerai-berai, manakala warga asing itu bekerja sebagai pelacur serta melakukan jenayah lain.

Oleh itu, dalam apa juga aspek kegiatan rasuah, setiap kakitangan yang terlibat perlu faham dan insaf bahawa wang yang mereka terima itu bukan sekadar kertas untuk berjoli dan memenuhi hawa nafsu tetapi sebenarnya wang dari ‘neraka’ yang ada luka, darah serta nyawa orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI