fbpx

Kontena bawa sisa plastik dari Amerika akan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan menahan sebuah kontena dari Amerika Syarikat yang disyaki mengandungi barang dagangan sisa plastik sejurus kontena berkenaan tiba di Pelabuhan Klang, Selangor Isnin ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk membanteras kemasukan haram sisa plastik ke Malaysia dari negara tersebut.

Beliau berkata, JAS menerima maklumat daripada Sahabat Alam Malaysia pada 12 Mac lalu berhubung satu kontena dari Los Angeles menggunakan agen perkapalan CMA CGM dan pengeksport Sigma Recycling Inc. yang disyaki mengandungi sisa plastik.

“Kapal tersebut telah berlepas dari Los Angeles pada 14 Februari lalu dan dijangka tiba di Pelabuhan Klang pada Isnin ini.

“JAS selaku Competent Authority bagi kawalan sisa plastik merentas sempadan di bawah Konvensyen Basel yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu mendapati tiada sebarang permohonan pengimportan sisa plastik ini diterima dari negara pengeksport,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, JAS telah menghubungi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Westport Malaysia Sdn. Bhd. dan Unit Kawalan Kontena Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk melaksanakan tindakan penahanan kontena tersebut.

“Pemeriksaan bersepadu JAS bersama JKDM, LPK, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan dijalankan sejurus kontena itu tiba di Pelabuhan Klang,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI