fbpx

Kampung Morten dinaik taraf jadi hab keusahawanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan

MELAKA – Kampung Morten di sini diangkat menjadi lokasi baharu pusat keusahawanan dengan pembinaan Hab Keusahawanan Morten Walk bernilai RM8 juta.

Pembangunan dengan konsep ‘modern dan trendy’ itu merupakan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menerusi UDA Holdings Berhad (UDA).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, projek pembinaan pusat keusahawanan itu akan dibangunkan di kawasan seluas 1.67 hektar berdekatan Sungai Melaka.

“Kita akan membangunkan sebuah pusat Hab Keusahawanan Morten Walk bernilai RM8 juta bagi memperkukuhkan sosiokonomi rakyat dan juga sebagai platform mengukuhkan pasaran produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di bawah Medac.

“Projek ini bakal menyediakan 100 ruang sewaan untuk para usahawan meliputi lot berbentuk kabin serta lot promosi untuk perniagaan makanan, minuman, fesyen, aksesori, kedai pelbagai, kedai IT dan sebagainya,” katanya pada majlis pecah tanah Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berharap aktiviti keusahawanan akan menjadi lebih aktif dan rancak di negeri ini menerusi projek pembinaan hab keusahawanan itu yang dijangka beroperasi pada Oktober depan.

“Kita akan turut menawarkan bantuan kepada usahawan yang layak seperti kadar sewaan di bawah harga pasaran, insentif berupa kos pengurusan atau rebat sewaan dan manfaat fasiliti.

“Semoga bantuan-bantuan ini dapat menjadi pemangkin dalam melahirkan lebih ramai usahawan di seluruh Malaysia selari dengan prinsip perniagaan UDA iaitu memperkasa gaya hidup lestari,”ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI