fbpx

Pengguna ekzos bising disaman, penjual buat duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WAN HASNAN WAN HASAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD

Isu mengenai pengubahsuaian motosikal khususnya membabitkan pemasangan ekzos bising dalam kalangan belia menjadi topik hangat netizen sehingga menimbulkan perdebatan sesama mereka.

Bagi pihak polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mereka hanya menguatkuasakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan tersebut kerana menjadi kesalahan di bawah Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.

Bagi para peminat motosikal ekzos bising pula, mereka memasang eksesori itu kerana minat dan kononnya untuk mengikut trend semasa tanpa memikirkan kesan bunyi bising itu boleh mengganggu ketenteraman awam.

Bagaimanapun, tindakan pihak polis dan JPJ bertindak tegas terhadap penunggang motosikal berekzos bising ini kononnya di kala rakyat sedang menempuh saat sukar kesan daripada pandemik Covid-19 telah menarik perhatian ramai untuk meluahkan pendapat.

Bagi sesetengah pihak, tindakan itu dikatakan tidak kena pada masanya kerana kebanyakan pesalah terbabit akan terbeban dengan saman yang dikenakan sedangkan kesalahan mereka dikategorikan sebagai tidak serius.

Kononnya, kebanyakan mereka menggunakan motosikal itu untuk mencari rezeki dan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 serta boleh dipenjara dianggap menzalimi pemilik kenderaan itu.

Malah, ada juga yang mendesak kerajaan menangguhkan sementara tindakan menyaman pesalah terbabit, sebaliknya menumpukan kepada kesalahan melanggar lampu isyarat, pemandu mabuk atau menggunakan telefon bimbit semasa memandu kerana kesalahan itu dianggap lebih serius serta boleh mengundang bahaya.

Ada betulnya juga pendapat tersebut, namun pihak berkuasa tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini kerana mereka hanya menjalankan tugas.

Untuk menangani isu ini dengan lebih berkesan, kita sebenarnya perlu melihat kepada punca berlakunya permasalahan itu. Kita kena tahu dari manakah datangnya aksesori ekzos bising itu termasuklah juga aksesori lain yang dilarang mengikit undang-undang.

Jika benar penggunaannya dilarang, mengapa produk tersebut boleh berada di pasaran? Siapa yang membawa masuk dan pihak mana yang menjualnya?

Jika diteliti, punca kepada permasalahan ekzos bising ini, ia sebenarnya bermula daripada pihak berkuasa sendiri kerana kita dapati di satu pihak melarang penggunaannya, tetapi di satu pihak yang lain pula membenarkan produk yang dilarang itu dibawa masuk ke dalam negara dan boleh dijual sewenang-wenangnya.

Sepatutnya semua aksesori yang diharamkan penggunaannya itu, disekat sejak dari awal daripada masuk dan dijual di dalam negara.

Percayalah, masalah ekzos bising ini khususnya membabitkan para belia kita tidak akan pernah berakhir dan akan berlarutan sampai bila-bila selagi mereka boleh mendapatkan produk tersebut di pasaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI