fbpx

Belajar setakat darjah 6, sekarang tauke mi Liena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Aspalina (kiri) sentiasa turun padang untuk meninjau dan membantu para pekerjanya di kilangnya yang terletak di kawasan industri Bukit Panchor, Nibong Tebal.

SEBERANG PERAI – Latar belakang pendidikan tidak sesuai dijadikan kayu pengukur untuk melihat prospek seseorang dalam bidang bisnes.

Ia dibuktikan sendiri oleh Noor Aspalina Mat Razi, 42, yang kini boleh berbangga dengan mi kuning dan kuetiau jenama Liena keluaran syarikatnya, PTRI 5 Nibong Tebal Enterprise walaupun
hanya bersekolah setakat darjah enam.

Menurut anak sulung daripada lima beradik ini, beliau sebelum ini mewarisi perniagaan mi kuning daripada bapanya, namun memberanikan diri memulakan perniagaan dan jenama sendiri pada tiga tahun lalu.

Jelasnya, keinginan untuk keluar daripada kepompong selesa itu adalah untuk membuktikan keupayaannya dalam menguruskan perniagaan sendiri, namun jelas ia tidaklah semudah yang
disangka.

“Selain perlu meyakinkan pembekal untuk terus berurusan, saya tidak mempunyai kilang sendiri ketika itu dan saya juga terpaksa menguruskan segala-galanya sendirian, termasuk berkaitan kewangan syarikat serta pemasaran produk.

“Berkat kesabaran dan kerja keras, mi kuning dan kuetiau Liena kini semakin mendapat tempat di pasaran,” cerita ibu kepada lima cahaya mata itu kepada pemberita baru-baru ini.

Noor Aspalina menunjukkan produk keluarannnya.

Menurut Noor Aspalina, ketika ini syarikatnya mampu menghasilkan antara 10 hingga 14 tan mi kuning serta kuetiau sehari dan jumlah itu biasanya bertambah ketika musim perayaan.

Katanya, harga pasaran bagi sepeket mi kuning atau kuetiau seberat 500 gram biasanya antara RM1.50 hingga RM1.80 dan jenama Liena kini boleh didapati di pasar-pasar borong serta
pasar raya terpilih sekitar Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

“Kelebihan produk kami ialah mi kuning yang kami hasilkan tidak pahit, tahan lama dan teksturnya lembut.

“Kuetiau Liena pula lebih kenyal serta sesuai digunakan untuk menghasilkan tiga menu berbeza iaitu kuetiau sup, kuetiau goreng dan char kuetiau,” katanya.

Noor Aspalina akan memeriksa sendiri bungkusan mi kuning serta kuetiau berjenama Liena sebelum ia diedarkan ke pasaran bagi memastikan kualiti produk itu terjamin.

Ujar Noor Aspalina, secara purata, pihaknya mampu meraih jualan antara RM250,000 hingga RM300,000 sebulan walaupun semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Tambahnya, terdapat 56 ejen yang memasarkan mi kuning serta kuetiau Liena di seluruh negara dan pihaknya turut menggunakan tujuh buah lori serta tiga buah van untuk mengedarkan
produk berkenaan.

“Buat masa ini, kami mahu fokus untuk memperkenalkan jenama Liena sebagai produk mi kuning dan kuetiau keluaran bumiputera yang kualitinya setanding dengan jenama lain di
pasaran,” katanya yang berhasrat memperkenalkan produk bebola ikan selepas ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI