fbpx

Johor Jewels siap sedia aksi sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR FARIHA merupakan salah seorang bintang penting Johor Jewels untuk melangkah jauh pada saingan NSL 2021.

BINTANG Johor Jewels, Noor Azilah Aziz sudah bersedia sepenuhnya membawa cabaran pasukannya menghadapi kejohanan yang julung-julung kali diadakan, Netball Super League (NSL) 2021 di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur bermula esok hingga 11 April depan.

Pemain berusia 23 tahun itu menegaskan, semangatnya tetap tidak luntur meskipun sedar laluan Johor Jewels sangat berliku selepas diundi dalam Kumpulan B yang dianggap kumpulan maut pada saingan kali ini.

Ini kerana, Johor Jewels bakal berentap dengan salah satu gergasi bola jaring tanah air, ­Sela­ngor Angels selain dua pasukan yang mampu menghadirkan bahaya jika dipandang rendah seperti Pahang Tulips dan Negeri Sembilan Venoms.

Bagaimanapun, Azilah yang sudah menyarung jersi Malaysia sejak tahun 2015, percaya dengan kemampuan rakan-rakan sepa­sukan dalam misi melayakkan diri ke pentas final bertemu musuh tradisi daripada Kumpulan A, Kuala Lumpur (KL) Wildcats.

“Johor mempunyai musuh tradisi iaitu KL, namun saya lebih selesa menganggap semua negeri adalah pencabar yang hebat. Jadi, kita memang tidak boleh memandang remeh pasukan-pasukan lain.

“Mungkin disebabkan kami pernah ada sejarah-sejarah lepas dan kemungkinan juga persiapan mereka lebih baik daripada sebelumnya menjelang kejohanan ini.

“Oleh sebab itu, kami tidak boleh pandang rendah kemam­puan pasukan lain kerana ma­sing-masing ada kekuatan dan kelebihan sama juga seperti Johor,” katanya.

AZILAH yang berperanan sebagai Goal Keeper – GK (kiri) mahu pasukan Johor Jewels muncul sebagai empat pasukan terbaik di Malaysia. – FB NETBALL SINGAPORE

Selain Azilah, Johor Jewels juga diperkuatkan dengan dua bintang berpengalaman skuad negara, Pow Mei Foong serta Nur Fariha Abdul Razak dan pada masa sama turut dilatih bekas tonggak pasukan kebangsaan, Fazira Mesnan.

Pada masa sama, Azilah meletakkan sasaran awal untuk mengekalkan kedudukan sebagai empat pasukan terbaik tanah air atau dengan kata lain mara ke separuh akhir NSL musim ini.

Justeru, pemain yang berasal dari Kluang, Johor itu bertekad untuk menampilkan prestasi terbaik bagi memastikan pasukannya berjaya merakam kemenangan pertama menjelang aksi pembuka tirai Kumpulan B menentang Selangor Angels di Stadium Juara esok.

Satu lagi perlawanan Kumpulan B antara Pahang Tulips dan Negeri Sembilan Venoms akan berlangsung di venue sama pada Sabtu ini.

Peluang Pahang Tulips untuk mencatat kemenangan tetap dilihat cerah meskipun tidak dapat menurunkan Goal Shooter terbaik yang juga ‘mesin gol’ pasukan kebangsaan, Norashikin Kamal Zaman untuk saingan NSL kali ini.

Pemain berketinggian 186 sentimeter dari Temerloh, Pahang itu ‘berputih mata’ untuk melibatkan diri dalam penganjuran pertama kali ini kerana sarat mengandung cahaya mata pertama ketika ini.

Sementara itu, dua perlawanan Kumpulan A akan berlangsung esok membabitkan satu lagi pilihan utama, KL Wildcats bertemu Melaka Mystic dan pertembungan antara Perak Phoenix menentang Kedah Sunshine.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI