fbpx
GAMBAR menunjukkan beberapa panel solar yang dipasang pada bumbung sebuah rumah bagi mengoperasikan sistem solar PV di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Ubah cahaya suria jadi tenaga elektrik di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SEBELUM pemasangan sistem solar photovoltaic (PV) dibuat, terlebih dahulu kami akan menyediakan kertas cadangan yang mengandungi maklumat teknikal dan kewangan untuk pertimbangan pengguna. Kami akan mendapatkan maklumat berkaitan seperti purata bil elektrik kediaman yang dibayar setiap bulan, lokasi dan jenis fasa pendawaian.

“Sebagai contoh, apabila bil elektrik yang dibayar adalah sebanyak RM400 sebulan, kami akan menyediakan kertas cadangan yang tepat di mana dengan pemasangan sistem solar PV, tuan rumah dapat melakukan penjimatan sehingga RM350 setiap bulan. Ini bermakna selepas ini mereka hanya perlu membayar bil elektrik sekitar hanya RM50 sebulan,” ujar Mohd. Syahmi Mohd. Joni, 38, yang juga merupakan Ketua Pegawai Operasi Suria dan Sonne Sdn. Bhd. (SNS) kepada K2 sekali gus menggambarkan betapa besar penjimatan yang dapat dilakukan menerusi sistem tenaga tersebut.

SNS merupakan syarikat milik penuh Bumiputera yang menyediakan perkhidmatan menyeluruh berkenaan sistem solar PV untuk bangunan kediaman, pejabat, kilang industri, institusi pendidikan dan keagamaan serta kawasan tanah lapang. Realitinya, tidak banyak golongan Bumiputera yang terlibat dalam perniagaan ini.

Sistem solar PV merupakan satu teknologi mengubah cahaya matahari menjadi tenaga elektrik.

Penggunaan sistem solar PV semakin diterima masyarakat Malaysia dan turut dipraktikkan di rumah. Menurut Mohd. Syahmi, sejak syarikat itu beroperasi pada tahun 2015, permintaan untuk bangunan kediaman sentiasa ada walaupun belum begitu meluas.

AIDILF (kiri) dan Mohd. Syahmi (kanan) memiliki kepakaran dalam pemasangan sistem solar PV di bangunan rumah dan premis.

Jelasnya, sistem tersebut akan membantu pemilik rumah kediaman dan juga premis industri untuk melakukan penjimatan dalam membayar bil elektrik bulanan.

“Jika pengguna bersetuju dengan kertas cadangan dikemukakan, kami akan melawat tapak untuk mengkaji keluasan dan kesesuaian bumbung untuk pemasangan panel solar, menentukan laluan kabel elektrik dan mencari kawasan pemasangan alat inverter yang sesuai untuk pemasangan panel solar PV.

“Selepas itu, jika pengguna bersetuju dengan penggunaan sistem PV ini di kediaman mereka, kami akan teruskan langkah seterusnya dengan memohon kuota di bawah Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) daripada

Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli terlebih dahulu,” katanya.

Tambahnya, kemudian pengguna akan mendapat bekalan elektrik secara langsung daripada sistem solar PV yang dipasang di atas bumbung seterusnya mengurangkan pembelian elektrik daripada syarikat penyedia utiliti elektrik.

Lebih menarik, pengguna boleh mengeksport lebihan tenaga elektrik yang terhasil daripada solar PV kepada grid sebagai kredit tenaga dalam bil elektrik bulan berikutnya.

Terangnya, program NEM merupakan satu usaha kerajaan untuk membantu pengguna menjimatkan bayaran bulanan bil elektrik bagi kediaman atau premis masing-masing.

PANEL solar dipasang pada bahagian bumbung rumah.

Menerusi pelbagai pakej di bawah Program NEM 3.0 seperti NEM Rakyat dan NEM GoMen, pemilik sistem solar dapat mengeksport lebihan tenaga solar yang dihasilkan lalu mengimport semula tenaga itu pada waktu yang lain seperti waktu mendung dan malam. Ini dapat meningkatkan penjimatan bil elektrik tanpa perlu memasang bateri yang biasanya menelan belanja yang tinggi.

“Kami merupakan salah satu syarikat penyedia perkhidmatan yang berdaftar dengan SEDA sebagai Pembekal Perkhidmatan PV Berdaftar (RPVSP).

“Oleh itu, pemasangan sistem solar PV ini turut tertakluk dengan garis panduan dan standard yang telah ditetapkan agensi tersebut,” kata graduan bidang kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia itu.

Mohd. Syahmi menjelaskan, walaupun kos upfront untuk pemasangan sistem solar PV ini agak tinggi pada peringkat permulaan, tempoh pulangan modalnya adalah dalam beberapa tahun sahaja dan penjimatan bil elektrik akan dinikmati untuk tempoh jangka panjang.

Tempoh balik modal adalah sekitar lima hingga tujuh tahun sahaja dan sistem solar pula boleh bertahan sehingga 20 hingga 25 tahun, manakala penjimatan bil elektrik berterusan sepanjang jangka hayat sistem solar.

Menurutnya, untuk perkhidmatan lengkap termasuk proses mereka bentuk sistem, pemasangan panel solar dan permohonan kuota di bangunan kediaman, harganya bermula daripada RM25,000.

“Pemasangan panel ini bergantung kepada keluasan bumbung rumah dan jumlah kegunaan tenaga di rumah tersebut. Dengan harga sedemikian, sebanyak 10 hingga 15 panel solar PV sesuai dipasang.

“Panel solar ini boleh juga dipasang kurang daripada jumlah itu untuk mengurangkan kos, tetapi penjimatan bulanannya pula akan mengecil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi dan juga pengasas SNS, Aidilf Nordin memberitahu, sistem solar PV terdiri daripada beberapa komponen utama seperti panel solar, inverter, meter elektrik dua hala dan bateri.

Memperincikan mengenai aspek penjimatan dan pertukaran lebihan tenaga kepada grid, Aidilf, 32, menegaskan, melalui sistem solar PV, pengguna berpeluang mendapatkan penjimatan bil elektrik sehingga 90 peratus setiap bulan.

“Melalui program seperti NEM Rakyat untuk rumah kediaman, bateri tidak semestinya diperlukan kerana lebihan tenaga boleh dieksport ke grid sebagai kredit untuk diimport semula pada waktu malam dan mendung.

Tambahnya, sekiranya ada lebihan tenaga, tenaga ini akan dieksport ke grid melalui meter elektrik dua hala atau bidirectional meter.

Berbeza dengan meter elektrik biasa, meter ini dapat merekodkan tenaga yang diimport dan dieksport.

PANEL solar yang digunakan berkualiti diperbuat daripada material monocristalline silicon.

Aidilf yang juga graduan bidang sistem tenaga dan tenaga boleh diperbaharui dari Universiti of Applied Sciences Biberach di Jerman menjelaskan, walaupun dilengkapi sistem solar PV, itu tidak bermaksud kediaman ataupun premis tidak lagi menggunakan tenaga elektrik yang disalurkan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, secara umum pengguna masih menggunakan tenaga elektrik yang disalurkan oleh TNB untuk sebelah malam atau pada hari mendung.

“Sistem solar PV ini menggunakan mekanisme NEM di mana apabila tenaga dihasilkan kita akan menggunakannya dahulu dan lebihan tenaga itu akan dijual kepada TNB dan direkodkan sebagai eksport.

“Jadi pada penghujung bulan akan ada rekod import dan eksport. Import bermakna kita menggunakan tenaga elektrik dijana oleh TNB terutamanya pada waktu malam. Apabila perhitungan dibuat, lebihan eksport tenaga yang dihasilkan oleh solar PV berbanding import tenaga yang kita gunakan daripada TNB itu akan mengurangkan bil elektrik bulanan,” katanya.

Jelasnya melalui penggunaan tenaga solar, kita tidak perlu lagi risau tentang pencemaran yang menyebabkan perubahan iklim kerana tenaga ini bersifat bersih.

Sementara itu, Aidilf menjelaskan, mereka memilih terlibat dalam bidang tersebut kerana melihat potensi sistem solar PV yang boleh dikatakan semakin diterima baik di negara ini.

Menurutnya, berbanding sedekad lalu, kos untuk pemasangan sistem tersebut juga kini semakin murah dan banyak juga insentif disediakan oleh pihak kerajaan.

“Kita lihat kini pihak bank turut menyediakan kemudahan pinjaman kepada individu atau pihak yang berhasrat menggunakan sistem solar PV ini. Kemudahan pembiayaan kepada pelanggan melalui kerjasama dengan beberapa institusi kewangan turut ditawarkan syarikat.

“Selain itu, kerajaan turut memberi pengecualian cukai kepada pemain-pemain industri yang ingin memasang sistem ini di premis mereka,” ujarnya.

Aidilf menjelaskan, mereka turut menjadikan Jerman sebagai rangka tindakan (blueprint) dalam bidang sistem solar PV.

Pada pandangannya, negara itu lebih kehadapan dalam bidang tersebut berbanding Malaysia.

“Pelbagai premis di Jerman telah menggunakan sistem ini. Kita juga sepatutnya turut melakukan perkara yang sama. Berbanding Jerman, negara kita sebenarnya lebih berkelebihan kerana kita menerima sinaran matahari setiap tahun dan itu perlu dimanfaatkan,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Aidilf menjelaskan perancangan masa depan syarikatnya untuk melakukan transformasi sistem solar ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) melalui Internet of Things (IOT), Kecerdasan Buatan (AI) dan lain-lain lagi berdasarkan sistem bersesuaian.

Selain itu, mereka juga mahu menawarkan perkhidmatan lain berkaitan tenaga hijau melalui skop aplikasi yang lebih meluas seperti elektromobiliti, sistem bateri simpanan tenaga dan lain-lain lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN