fbpx
HUBUNGHAN sesama jenis adalah suatu yang menyalahi fitrah manusia. – GAMBAR HIASAN

Watak hero ‘umpan’ hubungan songsang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMILIKI raut wajah kacukan Kelantan-Siam dengan kulit putih mulus membuatkan Helmi (bukan nama sebenar) sering mencuri perhatian setiap mata yang memandang.

Ciri lain yang membuat orang mudah cair dengan pemuda berusia 28 tahun itu adalah disebabkan susuk tubuhnya yang memiliki ketinggian 182 sentimeter dengan lengan sedikit berotot.

Justeru tidak hairanlah, Helmi yang bekerja sebagai pembantu pejabat sebuah hospital swasta di Lembah Klang sering menjadi perhatian rakan-rakan sekerjanya terutamanya golongan wanita.

Disebabkan pakej lengkap yang dimiliki, Helmi turut mendapat tawaran daripada beberapa penerbit untuk menjadi pelakon tambahan serta model beberapa produk pakaian.

Sewaktu bergelar model dan pelakon, Helmi telah berkenalan dengan seorang lelaki berusia 40-an yang berhasrat membantunya mengembangkan karier dalam industri.

Lelaki yang dikenali sebagai Amir (bukan nama sebenar) itu berjanji untuk membantu Helmi seikhlas hati tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

Helmi yang ketika itu masih mentah telah menerima tawaran Amir yang merupakan pembantu penerbit itu tanpa mengesyaki sebarang perkara negatif kerana yakin dengan statusnya sebagai orang lama industri.

“Saya berlakon dan jadi model secara
suka-suka untuk mencari pendapatan lebih. Pada satu hari saya telah bertemu dengan Amir. Dia mempunyai pengalaman luas dalam industri.

“Dia telah membantu ramai pelakon muda untuk berjaya dalam dunia lakonan. Dia menyatakan berhasrat untuk membantu saya mendapatkan watak utama drama atau filem,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Pada permulaannya, Amir sering memberi kerja-kerja sebagai model kepada Helmi dengan mengatur beberapa sesi fotografi bersama majalah dan akhbar.

Selepas itu, Amir telah berjaya mendapatkan watak utama dalam sebuah drama tempatan yang menjalankan penggambaran selama sebulan di Terengganu.

Helmi menerima tawaran berkenaan dengan harapan untuk mengembangkan kerjayanya. Malah, dia sanggup mengambil cuti tanpa gaji semata-mata untuk menjalani pengambaran di negeri Pantai Timur itu.

“Saya terima tawaran yang diberikan Amir kerana itu kali pertama mendapat peranan sebagai watak utama. Malah, bayaran yang diberikan juga cukup lumayan.

“Amir memberitahu saya bahawa sepanjang penggambaran di Kuala Terengganu dia turut ikut serta. Dia juga telah membantu mencari resort berdekatan dengan tempat penggambaran,” katanya.

Selepas beberapa hari menjalani penggambaran di sana, dia mula merasakan perubahan pada sikap dan tingkah laku Amir.

Jelasnya, Amir dilihat sering memandangnya dari jauh serta mengambil berat terhadap dirinya sedangkan mereka berdua bukanlah kenalan rapat.

“Saya mula merasakan sesuatu yang aneh pada Amir selepas melihat cara dia memandang saya. Cara dia pandang saya bukan seperti seorang rakan sekerja, sebaliknya lebih daripada itu.

“Saya juga perasan, dia sering mengambil berat dengan bertanyakan mengenai keadaan kesihatan dan perjalanan penggambaran tanpa jemu,” tegasnya.

 

 

HELMI mendapat lebih banyak tawaran lakonan sewaktu mengenali Amir tanpa mengetahui niat keji di sebalik kebaikan Amir itu. – GAMBAR HIASAN

Helmi tidak mengesyaki sebarang perkara negatif terhadap perbuatan Amir itu. Sebaliknya, dia menganggap itu mungkin sebahagian daripada tugas
Amir iaitu menjaganya sepanjang penggambaran.
Perkara tersebut berlarutan selama dua minggu sehinggalah Helmi terpaksa melakukan penggambaran di Pulau Perhentian untuk tempoh enam hari dan Amir memilih untuk turut serta.

Disebabkan bajet yang terhad, Amir telah mempelawa Helmi untuk tinggal bersama dalam satu bilik sepanjang berada di pulau peranginan itu.

“Saya tidak mengesyaki sebarang perkara negatif ketika itu. Lagipun saya faham bajet untuk drama tersebut tidak besar. Jadi apa salahnya berkongsi bilik.

“Sepanjang beberapa hari tinggal sebilik dengan Amir, saya dapat rasakan dia memerhati saya dengan penuh minat terutamanya ketika keluar daripada bilik mandi,” katanya.

Pada malam terakhir di Pulau Perhentian, Amir telah meluahkan perasaan cinta terhadap Helmi serta mengajaknya untuk melakukan hubungan terlarang.

Helmi yang terkejut dengan ajakan tersebut telah menolak permintaan Amir secara sopan supaya tidak mengguris hati individu yang telah banyak membantunya selama ini.

Bagaimanapun, Amir menunjukkan reaksi berang selepas mendengar jawapan daripada Helmi yang menolak permintaannya.

Ujar Helmi, Amir mula mengungkit semua pertolongannya selama ini termasuk mendapatkan tawaran sebagai pelakon utama tanpa mengharapkan habuan wang ringgit.

“Selepas tahu bahawa Amir jenis suka kaum sejenis (gay), saya terus keluar dari bilik berkenaan. Kalau ikutkan, saya tidak mahu teruskan penggambaran drama itu.

Disebabkan terikat dengan kontrak, saya terpaksa teruskan juga penggambaran berkenaan sampai habis. Selepas saya tolak pelawaan itu, Amir terus pulang ke ibu negara,” katanya.

Selepas kejadian itu, Helmi tidak lagi berhubung dengan Amir sekali gus membuatkan kerjaya seninya turut terjejas dek kurangnya kerja dalam dunia lakonan.

Meskipun begitu, Helmi tetap bersyukur kerana meskipun tidak mendapat kerja sebagai pelakon utama, namun dia tidak hidup bergelumang dosa iaitu melakukan hubungan sejenis.

“Saya lebih rela tidak ada kerja daripada bersama Amir. Saya tidak mahu hidup dengan melakukan dosa berat sehingga Rasulullah SAW pun enggan mengaku umat. Saya harap Amir dapat berubah kepada fitrah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN