fbpx

Telur ladang CES 008 dilarang dijual di pasaran tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengarahkan supaya telur keluaran salah satu daripada 10 buah ladang milik Lay Hong Bhd (Lay Hong) iaitu ladang CES 008 tidak dibenarkan dijual di pasaran tempatan sebagai telur sajian sehingga keputusan siasatan diperoleh.

DVS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga tidak membenarkan kemasukan semula telur CES 008 ke Malaysia berikutan pengesanan kehadiran bakteria Salmonella enteriditis (SE) pada konsainan telur eksport daripada ladang terbabit.

DVS berkata, penggantungan telur CES 008 oleh kerajaan Singapura baru-baru ini bagaimanapun tidak menjejaskan bekalan pasaran tempatan dan pengeksportan lain-lain ladang ke republik itu.

Menurutnya, sesi engagement bersama pengurusan syarikat Lay Hong yang dibuat hari ini mendapati hanya ladang CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura daripada 10 ladang ayam milik syarikat terbabit yang terdiri daripada dua ladang pullet dan lapan ladang ayam penelur.

“Pihak syarikat memaklumkan bahawa 100 peratus telur keluaran ladang CES 008 adalah untuk pasaran eksport ke Singapura.

“Pihak syarikat juga bersetuju untuk melaksanakan tindakan pembetulan dan pemantauan lebih kerap dan meningkatkan kawalan biosekuriti,” katanya hari ini.

DVS berkata, pihaknya juga menjalankan lawat siasat dan pensampelan untuk pengujian SE ke atas semua ladang kepunyaan syarikat Lay Hong bagi memastikan telur keluaran ladang mereka bebas bakteria tersebut.

“Kami turut melawat ladang CES 008 di Jeram, Selangor untuk mengenal pasti pencemaran SE pada telur selain menyemak rekod pemvaksinan, pengeluaran telur dan rekod program survelan penyakit di ladang.

“Kami juga menjalankan pensampelan persekitaran, kloaka, makanan ternakan, air minuman dan telur untuk pengesanan SE,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berasingan berkata, pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan bekerjasama dengan DVS bagi menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas premis dan telur ayam dicemari bakteria Salmonella enteritidis keluaran negara yang ditarik balik dari pasaran Singapura.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd. Salim Dulatti berkata, sehingga kini, 364 sampel telur ayam telah dianalisis dan hanya dua daripada sampel tersebut mengandungi Salmonella entritidis.

“Bagi mengelakkan keracunan makanan disebabkan bakteria ini, pengguna dinasihatkan mencuci telur ayam dengan sempurna sebelum digunakan.

“Pengguna juga dinasihat elak menggunakan telur ayam yang telah retak atau pecah kerana ia mungkin tercemar dengan bakteria Salmonella enteritidis selain memasak telur ayam dengan sempurna sehingga bahagian kuning dan putih menjadi keras sebelum dimakan,” katanya.

Sebelum ini, Singapura telah mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan dari sebuah syarikat di Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga.

Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam laman web mereka menyatakan arahan itu dibuat berikutan penemuan SE pada produk tersebut yang boleh menyebabkan penyakit jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI