fbpx

20 individu, pelancong peluk Islam di PIIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUHAIMI (dua dari kiri) melihat penerangan disampaikan petugas IOAC kepada pengunjung di PIIM, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini. -Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Pusat Informasi Islam Majlis Agama Islam Selangor (PIIM) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, mencapai objektif penubuhannya apabila seramai 20 individu memeluk Islam di pusat itu sejak dua tahun lalu.

Kesemua individu termasuk enam pelancong asing itu melafazkan kalimah syahadah selepas tertarik dengan keindahan Islam secara visual dan infografik yang disediakan PIIM.

Pengarah Pembangunan Sosial Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Suhaimi Ismail berkata, pusat itu sudah menerima kehadiran seramai 14,450 pelancong asing sejak mula beroperasi pada 2016.

Katanya, daripada jumlah itu, kira-kira 70 peratus terdiri daripada pengunjung bukan Islam yang rata-ratanya pelancong Jepun, China, Taiwan dan Amerika Syarikat (AS).

“Alhamdulilah, usaha PIIM untuk menyebarkan ajaran dan syiar Islam diterima baik enam pelancong luar negara yang memeluk Islam sejurus menyertai lawatan disediakan.

“Sejak 2019, seramai 14 penduduk tempatan terdiri daripada pelbagai kaum atau agama turut melafazkan syahadah di pusat berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di PIIM, hari ini.

Tambah Suhaimi, pihaknya melantik Islamic Outreach ABIM Centre (IOAC) untuk menguruskan pusat itu termasuk proses pengislaman saudara baharu berkenaan.

“Selepas melafazkan syahadah, kesemua warga tempatan akan dirujuk kepada MAIS untuk proses pendaftaran. Manakala pelancong asing dinasihatkan mendaftar agama baharu dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara masing-masing,” jelasnya.

Mengulas mengenai PIIM, beliau berkata, pusat rujukan hasil inisiatif MAIS itu turut bertujuan menangani Islamophobia dan mengurangkan salah tanggapan terhadap Islam.

“Selain sesi lawatan, aktiviti yang dilaksanakan antaranya soal jawab mengenai Islam, diskusi ilmiah, majlis syahadah, kelas Al-Quran dan Bahasa Arab dengan PIIM dibuka setiap hari kecuali cuti umum bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai PIIM diminta melayari laman Facebook (FB) MAIS Islamic Information atau menghubungi Koordinator PIIM di talian 011-61892146 atau 013-394 2736. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI