fbpx

Iklan jual vaksin palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Iklan jualan vaksin Pfizer yang didapati palsu.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan, iklan jualan dalam talian membabitkan vaksin Covid-19 Pfizer yang tular di media sosial adalah palsu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menegaskan, pihaknya mengambil maklum berhubung iklan tersebut dan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi mendapati ia adalah palsu.

“Bahagian tersebut melalui Unit Forensik Siber dengan kerjasama pihak berwajib tempatan dan antarabangsa Interpol sememangnya sentiasa memantau keadaan semasa serta penjualan vaksin Pfizer di dalam talian.

“Vaksin Covid-19 telah diberikan pendaftaran bersyarat jadi, hanya boleh dibekalkan kepada pihak kerajaan dan pihak yang dibenarkan oleh kerajaan. Justeru vaksin ini tidak dijual di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya mengenai iklan yang tular di media sosial kononnya penjualan vaksin Covid-19 Pfizer berharga RM63.88.

Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat juga diminta berwaspada serta mendapatkan vaksin Covid-19 hanya daripada pihak KKM serta sumber yang boleh dipercayai.

“Kita juga dimaklumkan banyak vaksin tiruan di pasaran, jadi kita menasihati orang ramai supaya memastikan untuk mendapatkan vaksin daripada KKM dan sumber boleh dipercayai.

“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memberikan pendaftaran bersyarat iaitu syarat dibekalkan oleh kerajaan atau tempat dikenal pasti oleh kerajaan termasuk hospital swasta,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI