JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi berkata, Indonesia berdepan 3,253 kes bencana sepanjang Februari 2020 hingga Februari 2021 sekali gus menempatkan negara tersebut dalam ranking tertinggi dunia bagi kategori malang itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Pembukaan Mesyuarat Koordinasi Nasional Tindak Balas Perancangan Bencana 2021 yang ditayangkan di saluran YouTube Sekretariat Presiden lapor portal Liputan 6, hari ini.
“Dalam sehari ada lebih kurang sembilan bencana. Ia bukan angka yang kecil, tapi ujian dan cabaran yang harus kita hadapi. Sama ada bencana hidrometeorologi mahupun bencana geologi,” kata Jokowi.
Tidak ketinggalan, negara republik itu turut memiliki populasi besar sekitar 270 juta penduduk dengan kemungkinan angka mangsa terkorban turut melonjak setiap kali berlaku bencana.
“Kita sekali lagi menduduki ranking tertinggi negara paling menghadapi bencana kerana jumlah penduduk kita juga ramai. Sehingga risiko jumlah mangsa yang terkorban akibat bencana juga sangat besar,” ujarnya.
Justeru, beliau meminta langkah-langkah mengurangkan risiko bencana diambil dan mengingatkan setiap polisi yang dibuat harus memberi perhatian kepada aspek ancaman bencana.
“Saya melihat kunci utama dalam mengurangkan risiko terletak pada aspek pencegahan dan pengurangan bencana yang selalu saya sampaikan berulang-ulang.
“Pencegahan, pencegahan. Jangan terlambat, jangan terlambat,” jelas beliau. – AGENSI














