fbpx

Malaysia terima pelaburan RM5.4 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin (dua dari kanan) menerima kunjungan delegasi syarikat Nine Dragons Paper (Holdings) Limited di pejabatnya hari ini.

PUTRAJAYA – Syarikat pengeluar kertas dan ‘paperboard’ terbesar di Asia, Kumpulan Nine Dragons Paper (Holdings) Limited telah memberikan komitmen untuk menambah pelaburan sebanyak RM5.4 bilion di Malaysia sekali gus menjana lebih 2,000 peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaburan itu merangkumi dua fasiliti perkilangan di Pahang dan Selangor yang  masing-masing berjumlah RM1.2 bilion dan RM4.2 bilion.

Katanya, fasiliti perkilangan itu ialah ND Paper (Malaysia) Sdn. Bhd. di Bentong melibatkan pengambilalihan kilang kertas dan pulpa serta ND Paper Malaysia (Selangor) Sdn. Bhd. di Banting yang dijadualkan beroperasi pada tahun 2022.

“Kedua-dua projek ini akan menjana kira-kira 2,180 peluang pekerjaan dengan hampir 90 peratus adalah rakyat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Beliau terdahulu menerima kunjungan delegasi syarikat Nine Dragons Paper (Holdings) Limited di pejabatnya hari ini.

Delegasi syarikat itu diwakili Pengerusinya, Cheung Yan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Zhang Cheng Fei.

Turut hadir Menteri Kanan Ekonomi yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sebanyak 572 projek perkilangan dari China bernilai RM78.61 bilion telah diluluskan oleh pihak MIDA sehingga Disember tahun lalu.

Katanya, ini termasuk syarikat Kumpulan Nine Dragons Paper (Holdings) Limited yang tersenarai di papan utama Bursa Hong Kong dan menduduki senarai China Fortune 500.

“Penambahan pelaburan oleh syarikat ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka.

“Semoga ekonomi negara terus pulih dan bertambah kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan bahawa kerajaan amat probisnes dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu ke dalam negara.

“Malaysia bersedia untuk menawarkan pelbagai insentif bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI