fbpx
PERKAMPUNGAN Orang Asli yang berdekatan hutan mempunyai 1,001 kisah mitos dan misteri. – gambar hiasan

Tenrog makhluk ditakuti Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASYARAKAT Orang Asli di negara ini masih berpegang teguh kepada adat tradisi berkait rapat dengan kepercayaan nenek moyang, alam semula jadi dan makhluk ghaib.

Bagi Orang Asli suku kaum Temiar di Gua Musang, Kelantan, mereka percaya makhluk ghaib sememangnya wujud dan mendiami kawasan hutan belantara.

Mereka sangat menghormati dan pada masa sama takut dengan makhluk yang digelar Tenrog atau dikenali sebagai orang bunian dalam kalangan masyarakat Melayu.

Tok Batin Pos Bihai, Alang Segan berkata, mengikut kepercayaan orang tua zaman dahulu, Tenrog suka berkawan dengan manusia dan mempunyai sebuah perkampungan mewah, taman berhias indah dengan makanan yang lazat.

“Mengikut kepercayaan nenek moyang, jika kita masuk ke hutan hingga tersesat jalan, sebenarnya Tenrog yang bawa kita ke sana.

“Bagaimanapun, kita percaya Tenrog hanya ingin mendampingi kita dan bukan mempunyai niat yang tidak baik,” katanya.

Menurut Alang, sekiranya terdapat Orang Asli hilang dalam tempoh tertentu dalam hutan, mereka juga percaya kehilangan tersebut mempunyai kaitan dengan Tenrog.
Katanya, dalam usaha untuk mengembalikan semula orang hilang, masyarakat Orang Asli akan membuat upacara sewang dalam tempoh satu hingga enam bulan bergantung kepada keadaan mangsa.

“Sewang merupakan amalan tradisi yang dilakukan oleh Orang Asli melibatkan nyanyian, jampi serapah dan diiringi dengan tarian tertentu oleh bomoh atau Tok Halak.

“Nyanyian dan tarian digunakan sebagai perantara untuk memuja roh atau semangat, mengubati penyakit, menghalau hantu dan mengawal keselamatan kampung daripada diganggu makhluk lain,” katanya.

Tambah Alang, terdapat beberapa jenis sewang yang sering dilakukan oleh Orang Asli antaranya sewang adat, sewang menyambut tetamu, sewang perubatan, sewang menyambut perkahwinan, sewang kematian, sewang menyambut tahun baru dan sewang bomoh.

Seorang penduduk dari Kampung Bihai, Abam Pedik, 61, pula berkata, dia percaya Tenrog wujud dan tempat yang digemarinya adalah di kawasan hutan, gunung dan bukit.

Katanya, masyarakat Orang Asli percaya ada pantang larang yang perlu dipatuhi jika mahu menjejakkan kaki ke kawasan hutan.

“Disebabkan itu, jika mahu ke hutan secara berseorangan kita perlu berhati-hati. Kita mesti berdoa dalam hati supaya minta dijauhkan daripada perkara buruk,” katanya.

Katanya, sekiranya kita melanggar peraturan hutan, penghuninya akan marah hingga mengundang kejadian tidak diingini.

 

MASYARAKAT Orang Asli percaya, Tenrog amat sukakan kanak-kanak untuk dijadikan teman bermain. – gambar hiasan

 

Jelasnya, antara pantang larang utama, jangan bercakap besar dan membuat kerosakan atau pencemaran dalam hutan.

Seorang lagi penduduk, Asona Arau, 42, berkata, dia pernah mengalami pengalaman sesat di hutan disebabkan oleh Tenrog kira-kira 10 tahun lalu.

Katanya, peristiwa itu berlaku ketika dia bersama rakan-rakan keluar memburu haiwan untuk dijadikan lauk pada majlis kenduri padi.

“Kejadian berlaku semasa saya bersama enam orang rakan lain sekitar pukul 8 pagi hingga 6 petang. Kami masuk ke dalam hutan dan membina sebuah khemah untuk berehat sambil menunggu binatang untuk dijerat.

“Lama juga kami berlegar-legar di kawasan sama. Ketika itu, suasana sungguh hening dan tiba-tiba keadaan berangin agak kencang menyebabkan pokok bergoyang serta daun berguguran.

“Selepas itu, seekor lutong betul-betul terjatuh di hadapan kami. Kami percaya Tenrog yang membantu kami mendapat rezeki pada hari itu. Kami meminta izin daripada Tenrog untuk mengambil dan membawa pulang haiwan itu untuk keluarga,” katanya.

Tambah Asona, disebabkan itu, jika sebut perkataan Tenrog sesetengah masyarakat Orang Asli berasa sangat takut.

Katanya, Tenrog juga amat sukakan kanak-kanak apabila terdapat kes seorang budak dikataklan dibawa oleh Tenrog selama beberapa hari selepas mereka bermain di atas bukit lima tahun lalu.

“Tenrog membawa kanak-kanak berkenaan selama beberapa hari sebelum dijumpai semula orang kampung di sebatang pokok besar,” jelasnya.

“Kami percaya kanak-kanak yang tersesat itu diberi makan oleh Tenrog kerana ketika ditemui dia dalam keadaan sihat walaupun tersesat beberapa hari di hutan.

“Jika berada di alam Tenrog, kita seolah-olah berada di dunia lain. Jika terkena duri atau disengat binatang berbisa, kita tidak akan menyedarinya,” katanya.

=============================================================================================================================-Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN