fbpx

Lanjut Perintah Berkurung ESSZONE sehingga 16 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA KINABALU – Perintah berkurung membabitkan kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 16 Mac depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perintah berkurung berkenaan membabitkan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Semua orang penduduk yang tinggal di kawasan ini dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang sehingga 6 pagi.

“Perintah ini diteruskan sebagai langkah memastikan kawasan perairan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

“Selain itu, maklumat juga mendedahkan terdapat kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) selain kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan yang lain,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Hazani turut menyatakan perintah berkurung itu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Menurut beliau, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI