fbpx
Nur Sajat.

Rumah diserbu, Sajat ‘menghilang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Serbuan ke kediaman usahawan kosmetik sensasi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, telah dilakukan pihak berkuasa semalam bagaimanapun usahawan tersebut gagal ditemui.

Menurut sumber, serbuan telah dilakukan sekitar pukul 9 malam di kediaman usahawan itu di Seksyen 10, Kota Damansara.

“Ketika serbuan, hanya terdapat beberapa individu termasuk bapanya, Kamaruz Zaman Harun, 68, pembantu rumah dan dua kanak-kanak disyaki anak angkatnya dalam kediaman berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut telah dilakukan di seluruh kediaman itu bagaimanapun Nur Sajat gagal dijumpai,” ujarnya kepada Kosmo! hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Nur Sajat seolah-olah memerli Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) apabila memberitahu masih tiada orang mengetuk pintu rumah untuk menangkapnya.

Perbuatan itu dilakukan selepas JAIS memaklumkan sedang memburu Sajat selepas waran tangkap kepadanya dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah pada Selasa lalu.

Pada 6 Januari lalu, Sajat mengaku tidak bersalah di hadapan Mohammad Khalid atas pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan Agama Islam dipandang hina dalam majlis bacaan Yassin dan solat hajat.

Kesalahan itu dilakukan di Nursajat Beauticion, Seksyen 16 di sini pada pukul 7.30 malam, 23 Februari lalu.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 10 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor ) 1995.

Nur Sajat kemudiannya dibenarkan ikat jamin RM3,000.

Sementara itu, hasil tinjauan Kosmo! di laman Instagram milik Nur Sajat juga gagal ditemui dan dipercayai telah dinyah aktifkan. – K! ONLINE