fbpx

Untung Sime Darby naik dua kali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sime Darby Bhd. (Sime Darby) merekodkan untung bersih sebanyak RM633 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (S2 2021), lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Ia adalah hasil perolehan bersih berjumlah RM272 juta daripada penjualan 30 peratus pegangan dalam Tesco Malaysia dan prestasi memberangsangkan daripada segmen permotoran Kumpulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, tidak termasuk hasil jualan daripada pegangan Tesco Malaysia, untung bersih Sime Darby bagi S2 2021 ialah 28 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) naik 88.6 peratus tahun ke tahun kepada RM843 juta, manakala perolehan meningkat 10.1 peratus kepada RM11.2 bilion.

Jeffri Salim menjelaskan, prestasi bahagian permotoran Sime Darby sangat menggalakkan, terutamanya melibatkan operasi di China, selain Australia.

Jelasnya, Kumpulan bernasib baik kerana permintaan untuk kenderaan mewah kekal kukuh dalam tempoh ini.

“Kumpulan berbesar hati dengan penjualan pegangan dalam Tesco Malaysia yang selesai pada S2 2021, kami turut mengumumkan penjualan pelabuhan di Sungai Jining pada suku ini dan akan meneruskan komitmen untuk menjual aset bukan teras.

“Kami kekal berhati-hati dengan risiko wabak Covid-19, selain kelembapan permintaan bagi produk dan perkhidmatan daripada segmen perlombongan arang batu di Australia, akibat sekatan import arang batu oleh China,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Sime Darby mengumumkan dividen istimewa empat sen sesaham dan dividen interim dua sen sesaham, bagi tempoh kewa­ngan berakhir 31 Disember 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI