fbpx
ANGGOTA APM dan Perhilitan mengeluarkan seekor tapir yang terjatuh ke dalam longkang di SMK Sungai Soi di Kuantan Pahang hari ini.

5 jam selamatkan tapir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh NIK SUKRY RAMLI

KUANTAN – Sepasukan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kerjasama kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil masa kira-kira lima jam untuk menyelamatkan seekor tapir yang terjatuh ke dalam longkang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, dekat sini, pagi tadi.

Pegawai APM Kuantan, Zaubidah Said berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan tapir itu pukul 11.58 pagi sebelum seorang pegawai bersama enam anggota APM dihantar ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan tapir yang dipercayai tersesat itu.

“Pasukan APM yang ditugaskan menyelamatkan haiwan berkenaan berusaha kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan tapir itu, namun tidak berjaya berikutan haiwan terbabit mempunyai berat hampir 300 kilogram.

“Berikutan kesukaran dihadapi pasukan, mereka kemudiannya menghubungi Perhilitan untuk mendapatkan bantuan.

“Operasi menyelamatkan tapir itu akhirnya berjaya selepas hampir lima jam pihak APM dan Perhilitan berusaha mengeluarkan haiwan terbabit dari longkang sekolah berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md. Yasin berkata, tapir itu tidak mengalami kecederaan serius akibat terjatuh dan terperangkap dalam longkang sekolah terbabit.

Katanya, Perhilitan akan merawat luka pada beberapa bahagian badan haiwan itu sebelum ia dilepaskan semula ke habitat asal sebaik sahaja pulih daripada kecederaan. -K! ONLINE

POPULAR