fbpx

Seludup kucing Parsi guna pesawat peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kucing Parsi yang diseludup menggunakan pesawat peribadi.

SHAH ALAM – Hasrat seorang perempuan warga China menyeludup masuk seekor kucing baka Persian(Parsi) menggunakan pesawat peribadi tidak kesampaian apabila dikesan pihak berkuasa baru-baru ini.

Pengesanan itu dilakukan pukul 4.30 petang, Khamis lalu oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia ( Maqis) selepas pesawat dari Kemboja itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Pengarah Maqis Selangor, Zambri Hashim berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 43 tahun mengimport kucing yang bernilai RM350 dari Kemboja untuk peliharaannya.

Katanya, sewaktu pemeriksaan dijalankan didapati kucing tersebut tidak mempunyai permit import yang sah.

“Ini merupakan rampasan pertama direkodkan menerusi pesawat peribadi.

“Kegagalan untuk mengemukakan dokumen permit import semasa pemeriksaan di pintu masuk adalah merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Adalah penting untuk pengimport mematuhi syarat-syarat pengimportan haiwan peliharaan bagi memastikan haiwan tersebut bebas dari sebarang risiko penyakit.

“Maqis sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport bagi mengawal dan menjaga biosekuriti, kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara kita,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI