fbpx

K2

Kaki botol perasan bujang pukul bini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUAMI Ain berubah menjadi pemabuk selepas berkahwin.–GAMBAR HIASAN

SELEPAS enam tahun menyulam cinta sebagai pasangan kekasih, Ain dan Samad (bukan nama sebenar) akhirnya memilih untuk mengikat tali perkahwinan.

Perkara yang membuatkan mereka berdua memilih untuk mempunyai ikatan yang sah adalah disebabkan keyakinan masing-masing untuk hidup bahagia bersama.

Malangnya, tidak sampai lima bulan melayari bahtera perkahwinan, rumah tangga mereka mula dilanda bandai ekoran daripada perubahan sikap yang ditunjukkan oleh Samad.

“Pada mulanya, saya sangat yakin Samad mampu membahagiakan saya. Sepanjang perkenalan, kami jarang tidak sependapat atau bergaduh.

“Malangnya, tidak sampai lima bulan kami berkahwin macam-macam yang berlaku. Ini semua disebabkan sikap Samad yang memilih untuk hidup bebas seperti orang bujang,” imbau Ain ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Cerita Ain, perubahan sikap Samad itu berlaku selepas menganggotai satu badan beruniform sekali gus mengubah gaya hidup suaminya kepada suka berfoya-foya.

Ujarnya, Samad sering menghabiskan masa bersama kawan-kawan sekerja di kelab-kelab malam sambil meminum minuman keras sebelum balik ke rumah dalam keadaan mabuk.

“Saya yakin perubahan yang ditunjukkan oleh Samad ini disebabkan pengaruh rakan-rakan di tempat kerjanya. Sebelum ini, dia tidak pernah pergi ke kelab malam, apatah lagi minum arak,” katanya.

Menurut Ain, sebagai seorang isteri, dia sering menasihatkan suaminya supaya berubah apabila Samad balik ke rumah dalam keadaan mabuk.

Malangnya, nasihat yang diberikan oleh wanita berusia 30-an itu tidak diendahkan sebaliknya dia pula dipukul Samad dengan objek keras sehingga membawa kecederaan pada tubuh badan.

“Apabila mabuk, apa yang dilakukan Samad di luar pemikiran normal. Selalunya, saya sering menjadi sasaran untuk Samad melepaskan geram apabila ditegur,” ceritanya sambil menunjukkan parut pada bahagian dahi.

Meskipun sering dipukul Samad, namun tidak pernah terdetik dalam fikiran Ain untuk melaporkannya kepada keluarga atau pihak berkuasa.

Tegasnya, dia ingin memberi peluang kepada Samad untuk berubah iaitu kembali kepada kehidupan asalnya tanpa perlu campur tangan pihak ketiga.

“Tiada siapa pun tahu saya sering dipukul oleh Samad. Sebolehnya, saya juga ingin merahsiakannya daripada pengetahuan keluarga dan rakan-rakan di sekeliling.

“Saya sedar langkah merahsiakan setiap perkara yang berlaku dalam rumah tangga akan memburukkan lagi keadaan sehingga mengganggu emosi saya sebagai seorang isteri dan pekerja,” ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, suaminya juga sering membawa balik perempuan simpanan ke rumah terutamanya ketika Ain keluar bekerja pada sebelah siang.

Ujar Ain, pernah sekali dia terjumpa pakaian dalam perempuan tidak dikenali dalam bilik tidurnya sekali gus menguatkan lagi dakwaannya bahawa Samad masih berasa seperti orang bujang.

“Betapa hancurnya hati saya sebagai seorang isteri apabila tahu Samad sudah mula membawa balik perempuan ke rumah. Samad tidak menghormati langsung saya ini sebagai isterinya,” katanya.

Perkara negatif yang dilakukan oleh Samad berlarutan selama hampir setahun. Malah, Ain sudah tidak terkira berapa kali banyaknya dia dipukul sepanjang setahun hidup bersama Samad.

SETIAP kali pulang kerja dalam keadaan mabuk, suami Ain selalu hilang pertimbangan lalu memukul wanita itu bagai tiada belas ihsan sehingga Ain cedera pada tubuh badannya.–GAMBAR HIASAN

 

 

Sehinggalah pada satu hari, Ain terpaksa pulang lewat ke rumah disebabkan ingin menyelesaikan urusan di pejabat.

Sebaik tiba di rumah, alangkah terkejutnya Ain melihat Samad terbaring dalam keadaan khayal
di samping bungkusan kecil serbuk putih.

“Apabila melihat keadaannya begitu, saya terpaksa bertegas dengan meminta Samad keluar dari rumah. Disebabkan itu, Samad terus menumbuk saya sehingga terjatuh tangga.

“Selepas itu, dia mula menendang badan saya bertubi-tubi. Saya tidak berdaya untuk melawan atau lari ketika itu kerana badan saya terlalu sakit dan lemah,” ujarnya.

Kebetulan keesokan harinya, kedua-dua ibu bapa Ain datang menziarahi kediaman mereka. Apabila melihat muka dan badannya lebam-lebam, ibunya meminta Ain menceritakan perkara sebenar yang berlaku.

Selepas menceritakan segalanya, ibunya terus menasihati Ain ke klinik dan meninggalkan Samad dengan menuntut fasakh di mahkamah syariah.

Fasakh ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh hukum syarak.

Bagi kes Ain, dia boleh menuntut fasakh atas alasan suaminya menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.

Sewaktu perbicaraan di mahkamah syariah, Ain telah mengemukakan laporan doktor mengenai kecederaan dialaminya akibat dipukul Samad dan bukti-bukti itu diterima hakim.

“Saya masih ingat, sebelum mengakhiri perbicaraan, hakim sempat menasihati Samad supaya mengubah gaya hidup seperti orang bujangnya sekiranya ingin berkahwin lagi selepas ini,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI