fbpx

Vaksin kepada warga asing lindungi komuniti Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Pemberian vaksin Covid-19 kepada warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah bagi memastikan komuniti Malaysia dilindungi serta tidak dijangkiti penyakit tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun, ia mungkin akan diberikan untuk fasa keempat menerusi pemberian sekali suntikan sahaja.

“Untuk pekerja asing yang bekerja secara sah, kita memang memastikan mereka diberikan suntikan vaksin malah sebelum datang bekerja di sini.

“Bagi PATI pula, sekiranya mereka didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mungkin kita menggunakan kaedah bekerjasama dengan pihak tersebut bagi memberikan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Darurat Covid-19 Siri 3/2021: Keselamatan dan Keberkesanan Vaksin Covid-19 Serta Strategi Kementerian Kesihatan (KKM) Bagi Melindungi Golongan Berisiko Tinggi secara maya di sini hari ini.

Ia disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim sebagai moderator dengan menampilkan dua panel iaitu Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Dr. Kalaiarasu M. Peariasamy serta Ketua Sektor (Pakar Perubatan Kesihatan Awam) Bahagian Kawalan Penyakit, Dr. Mohd Hanif Zailani.

Noor Hisham berkata, pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan itu juga bagi mengelakkan penularan kes positif lebih-lebih lagi pernah dilaporkan di depoh tahanan dan penjara.

“Sekiranya PATI ditangkap dan ditempatkan di dalam depoh tahanan, dibimbangi jangkitan menular di situ seperti yang dilihat pada gelombang kedua dan ketiga.

“Ia kemudian turut menjangkiti kakitangan dan seterusnya ahli keluarga serta dibawa ke komuniti. Justeru, mahu atau tidak kita kena lihat bagaimana boleh melindungi komuniti di Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada masa ini, pihaknya sedang melaksanakan kajian membabitkan dua vaksin Covid-19 daripada dua syarikat yang hanya memerlukan satu suntikan pemberian vaksin.

“Kalau sekali sahaja suntikan itu, maka ia sesuai diberikan kepada pekerja asing yang sah dan PATI tersebut,” katanya.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi jaminan pekerja asing tanpa izin tidak akan ditahan apabila mereka tampil untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaporkan berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kedutaan asing, organisasi antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menggalakkan pekerja asing dan pelarian mendaftar dalam program vaksinasi. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI