PETALING JAYA – “Kami bukan ‘bermadu’ dengan isteri sugar daddy sahaja, malah kami tahu akan ‘bermadu’ dengan sugar baby yang lain.”
Demikian pengakuan seorang gadis yang ingin dikenali sebagai Sophia (bukan nama sebenar), 27, ketika menceritakan pengalamannya menjadi sugar baby kepada seorang ahli perniagaan miang sejak 2015.
Menurutnya, dia mengenali lelaki berusia lingkungan 50-an itu di sebuah parti persendirian sebelum ditawarkan menjadi perempuan simpanannya.
“Kami berkenalan melalui seorang rakan sebelum dia dengan beraninya mempelawa saya menjadi wanita simpanan.
“Saya seronok dimanjakan sugar daddy, apa sahaja permintaan mesti akan dipenuhi. Setiap hari ada sahaja hadiah yang diberikan berupa beg, kasut dan barangan perhiasan berjenama mewah,” katanya ketika dihubungi melalui laman sosial Instagram semalam.
Katanya, disebabkan teruja dilayan sebegitu dia tidak kisah berkongsi kasih dengan tiga isteri ahli perniagaan tersebut.
“Selepas dua tahun mengenalinya, baharu saya tahu dia mempunyai tiga orang isteri. Malah, baru-baru ini saya mendapat tahu saya bukan sahaja ‘berkongsi’ dengan tiga isterinya yang sah sahaja.
“Rupanya dia turut menyimpan beberapa lagi sugar baby lain. Saya pun tidak kisah menawarkan ‘cinta palsu’ kepada sugar daddy, asalkan dilimpahi kemewahan,” ujarnya yang kini telah berjinak-jinak dengan bidang perniagaan makanan hasil modal diberi lelaki tersebut.

– Gambar hiasan
Seorang lagi sugar baby dikenali sebagai Nurul (bukan nama sebenar), 22, berkata, dia sanggup menjadi perempuan simpanan kerana mahu hidup mewah.
Pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor itu memberitahu, dia mula berkenalan dengan seorang lelaki yang berusia 40-an menerusi sebuah aplikasi di media sosial ketika berada di semester kedua pada 2019.
“Saya berasal daripada sebuah keluarga yang mempunyai masalah, ibu bapa saya bukan orang senang selain hubungan rumah tangga retak.
“Atas faktor itulah hidup saya tertekan dan cuba keluar daripada masalah terutamanya kewangan ketika belajar sebab semua benda perlukan duit.
“Selepas saya jumpa dengan seorang lelaki ini, dia sangat baik, selalu ambil berat selain beri duit belanja untuk saya,” katanya ketika dihubungi.

Nurul berkata, sejak itulah kehidupannya berubah menjadi mewah dan sering belanja kawan-kawan makanan premium.
Jelasnya, ahli perniagaan itu juga turut menyediakan sebuah kereta untuk kegunaannya semasa berada di kampus.
“Ibu bapa sudah bercerai, jadi mereka pun tidak ambil berat sangat tentang saya, bila saya minta duit, saya pula kena marah,” katanya.
Dalam pada itu, seorang perunding kecantikan wanita yang enggan dikenali berkata, ramai pelanggannya terdiri daripada golongan tersebut.
“Golongan ini perlu tampil cantik setiap masa, jadi mereka akan menggunakan perkhidmatan saya secara peribadi di kediaman mereka di kawasan-kawasan elit.
“Antaranya untuk khidmat mekap, dandanan rambut sehingga kepada proses pembedahan kosmetik membesarkan payudara. Semua kos dibiayai oleh sugar daddy masing-masing,” katanya.
















