fbpx

MBits Digital mahu tawar pakej internet mampu milik kepada penduduk luar bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Syarikat tele­komunikasi dan multimedia, MBits Digital Sdn. Bhd. (MBits) sedang meneroka peluang untuk menawarkan akses internet mampu milik kepada penduduk di kawasan luar bandar khususnya di Pantai Timur.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saraleana Nattaya Azmi berkata, untuk merealisasikan projek tersebut, pihaknya melihat kepada aplikasi teknologi baharu secara inovatif yang bakal diterjemahkan kepada kos lebih rendah buat pengguna.

Menurut beliau, pelan tersebut bakal dimulakan pada suku ketiga tahun ini dengan me­nyasarkan kepada perkampu­ngan di Felda dan Felcra.

“Usaha untuk memasukkan jalur fiber ke kawasan pedalaman dan memaasangnya ke setiap rumah di kawasan pedalaman akan menelan belanja yang tinggi serta mengambil masa yang panjang.

“Jadi kami bercadang untuk memasukkan jalur fiber ke pusat komuniti sebelum menyambung akses internet kepada kawasan sekitarnya dengan menggunakan teknologi inovatif seperti WiFi 6, oleh itu jalur fiber tidak perlu dimasukkan ke rumah individu.

“Penyelesaian ini dijangka mampu menyediakan akses internet mencukupi buat penduduk bagi tujuan pembelajaran online dan penstriman.

“Oleh itu, kami tidak perlu mengenakan caj tinggi kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual yang diadakan secara online baru-baru ini.

Minggu lalu, MBits memperoleh pelaburan sebanyak RM12.5 juta daripada Techna-X Bhd. (Techna-X) untuk pemilikan kepentingan syarikat sebanyak 25 peratus.

Pemilikan kepentingan tersebut adalah sebahagian daripada rancangan MBits untuk mempercepatkan pendigitalan Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi, penyia­ran yang berpatutan dan mudah diakses.

MBits kini menawarkan pelan data prabayar, LIFE selain per­khidmatan penstriman media over the top (OTT), PLAY yang menyediakan lebih 7,000 jam tontonan kandungan filem, drama dan muzik.

Menurut Saraleana, pihak­nya berhasrat untuk menjana RM100 juta menerusi pendanaan awam menjelang suku ketiga.

Tambah beliau, sebahagian daripada dana tersebut akan digunakan untuk inisiatif fiber, manakala selebihnya bagi tujuan pembinaan rangkaian, pemasaran dan penghasilan kan­dungan.
Jelasnya, syarikat optimis untuk mencapai sehingga 100,000 pelanggan LIFE menjelang akhir tahun berbanding 35,000 pelanggan buat masa ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI