fbpx

Dicekup tawar khidmat seks RM50 untuk 15 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian wanita yang ditahan Imigresen semalam.

MELAKA – Kegiatan lapan warga asing menawarkan khidmat seks pada kadar RM50 bagi 15 minit di sebuah hotel murah sekitar bandar Melaka berjaya dihidu Jabatan Imigresen (JIM) Melaka apabila kesemua dicekup, semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM negeri, Mohd. Sharulnizam Ismail berkata, kesemua wanita berusia 26 hingga 35 tahun terdiri daripada warga Indonesia, Thailand, Vietnam dan Bangladesh itu dicekup dalam serbuan Ops Gegar yang dijalankan di Jalan Tun Ali.

Katanya, sindiket itu cuba menyembunyikan kegiatan tidak bermoral itu dengan menyewa premis tersebut dengan kadar sewa RM1,500 sebulan.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya menahan lapan wanita warga asing yang menawarkan khidmat seks pada harga RM50 bagi 15 minit.

“Kita turut menahan penjaga premis hotel itu digelar ‘Kapten’ berusia 50-an dan seorang pelanggan warga Bangladesh 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan disini, hari ini.

Tambahnya, difahamkan wanita warga asing terbabit menerima upah sebanyak RM30 bagi perkhidmatan pelacuran itu, manakala baki RM20 diberikan kepada penjaga premis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkhidmatan itu dipercayai telah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan menawarkan perkhidmatan seawal pukul 10 pagi sehingga 4 petang di hotel berkenaan.

“Meskipun negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, operasi sindiket itu tetap berjalan seperti biasa, yang mana pelanggan mereka terdiri daripada lelaki warga asing dan juga tempatan.

“Semasa serbuan dijalankan kesemua wanita warga asing yang berada di premis itu cuba melarikan diri bagaimanapun usaha itu gagal dan berjaya ditahan anggota penguatkuasa.

Katanya, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas kondom, beberapa set radio walkie-talkie, buku kerja, telefon bimbit pelbagai jenama, dan wang tunai berjumlah RM1,040 dipercayai hasil daripada aktiviti haram tersebut.

Katanya, kesemua wanita tersebut ditahan selepas didapati telah melanggar syarat permit dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) seperti tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.

Jelasnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah untuk ujian saringan Covid-19 sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan lanjut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI