fbpx

Remaja mati ditikam abang ipar dalam pergelutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian seorang remaja berusia 17 tahun mati ditikam oleh abang iparnya sendiri dalam satu pertengkaran di Taman Pinggiran Batu Caves, Gombak kelmarin.- Foto IHSAN PDRM

GOMBAK – Seorang remaja lelaki maut selepas ditikam oleh abang iparnya sendiri dalam satu pergelutan di Taman Pinggiran Batu Caves, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian oleh seorang wanita yang juga merupakan kakak kepada mangsa kira-kira pukul 8.40 malam.

“Anggota polis yang bertugas di Pondok Polis Hospital Selayang telah menerima aduan daripada wanita berkenaan memaklumkan bahawa adik lelakinya berusia 17 tahun telah meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas ditikam oleh abang iparnya sendiri.

“Pada 7 dan 8 Februari, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah membuat tangkapan ke atas empat lelaki dan lima wanita tempatan berusia 25 hingga 72 tahun di sekitar kawasan Batu Caves bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.45 petang kelmarin sewaktu suspek sedang bertengkar dengan isteri dan juga keluarga wanita berkenaan.

“Pertengkaran dipercayai berpunca daripada keengganan wanita tersebut untuk tinggal bersama-sama kerana kurang selesa memandangkan rumah suaminya itu turut dihuni oleh adik-beradiknya yang lain.

“Pertengkaran tersebut kemudiannya bertukar menjadi provokasi sebelum berlaku pergelutan di antara suspek dan mangsa yang tidak berpuas hati apabila suspek mengeluarkan perkataan tidak baik kepada ibunya,” jelas beliau.

Tambah Arifai, suspek mengalami kecederaan di bahagian dada manakala mangsa mengalami kecederaan kesan tikaman pada bahagian bawah dada susulan pergelutan tersebut.

“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Selayang dan telah disahkan meninggal dunia pada pukul 9 malam oleh doktor bertugas sebelum mayat dihantar ke Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

“Pihak polis turut merampas sebilah pisau lipat berukuran 17 sentimeter di lokasi kejadian dan motif kejadian disyaki kerana mangsa didakwa mencampuri urusan rumahtangga suspek,” katanya.

Mengulas lanjut, Arifai berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 14 Februari untuk siasatan lanjut. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI