fbpx

Penolong pegawai MBPJ didakwa terima suapan RM377,696

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD Hasrul ( dua kiri) ketika dibawa pegawai SPRM untuk pendakwaan kes rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Seorang Penolong Pegawai Seni Bina Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM377,696 untuk penyediaan dan menandatangani borang arahan kerja penyelenggaran kuarters MBPJ, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Hasrul Ahmad Nordin, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh yang bekerja di Jabatan Kejuteraan MBPJ telah menggunakan kedudukannya menerima suapan keseluruhan RM377,696 dengan menyediakan dan menandatangani dua borang arahan kerja bagi dua fasa kerja-kerja penyelenggaraan tahunan untuk kuarters MBPJ.

Tuntutan bayaran itu adalah berjumlah RM397,576 kepada Foller Trading dalam melaksanakan kerja tersebut.

Kesemua suapan diterima tertuduh menerusi syarikat miliknya, Hasraf Design Construction dan adiknya iaitu Zie Maju Construction setelah menolak 5 peratus bayaran wang sewaan lesen syarikat dengan perbuatan itu dilakukan di MBPJ pada 4 Jun dan 28 Disember 2018.

Sehubungan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahad menawarkan jaminan RM80,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM.

Bagaimanapun, Peguam Ariff Azami Hussein memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM20,000 berikutan menanggung tiga orang anaknya termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) Lembam dengan sekarang ini tertuduh telah ditugaskan di bahagian pentadbiran di jabatan sama.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 bersama penjamin dan membenarkan syarat tambahan lain.

Sebutan semula kes ditetapkan 9 Mac depan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI