SEBERANG PERAI – Seramai 16 individu termasuk tujuh perempuan yang sedang leka berparti di dalam sebuah unit apartmen di Jalan Assumption, Butterworth di sini terkejut apabila diserbu polis awal pagi tadi.
Serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu dibuat ketika mereka yang berusia di antara usia 15 hingga 21 tahun termasuk lima masih di bawah umur sedang leka berpesta dadah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketika serbuan, suasana premis berkenaan turut dijadikan seperti pusat hiburan apabila lampu dimatikan dan dipasang dengan lampu LED berwarna-warni.
“Semasa serbuan, mereka dalam keadaan lalok dipercayai dibawah pengaruh dadah sambil memasang muzik dengan kuat dan berhibur dalam suasana seperti di dalam pub.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati 15 daripada mereka positif dadah termasuk lima remaja masih di bawah umur,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Noorzainy berkata, siasatan mendapati kumpulan terbabit menyewa unit apartmen itu selama tiga hari dua malam pada harga RM360 untuk dijadikan sebagai tempat berhibur dan menghisap dadah.
Beliau berkata, polis turut merampas dadah jenis ketamin dan syabu selain alat menghisap dadah, lampu LED, mikrofon dan pembesar suara semasa serbuan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE














