fbpx

Penjawat awam rugi RM70,000 diperdaya Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Seorang penjawat awam rugi RM70,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam melalui seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai kanan polis pada hujung tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 40 tahun telah dihubungi seorang wanita yang memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM38,600.

Katanya, mangsa dimaklumkan bahawa cukai tersebut melibatkan sebuah syarikat miliknya di Kuantan.

Menurutnya, mangsa yang tidak mengaku memiliki sebarang syarikat perniagaan kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya Sarjan Ridzuan.

“Setelah membuat semakan nombor kad pengenalan mangsa, suspek memberitahu mangsa turut mempunyai rekod kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.

“Panggilan telefon itu kemudian disambungkan kepada dua pegawai kanan polis yang menyamar sebagai Inspektor Fariezan dan Asisten Komisioner Datuk Wazir” katanya.

Menurut Shafien, mangsa kemudian diarahkan agar mengumpul wang sebanyak mungkin untuk menyelesaikan kes tersebut.

Katanya, mangsa telah mengikut semua arahan yang diberikan suspek termasuk memuat turun satu aplikasi yang menggunakan icon mirip MyBNM untuk mengisi butiran akaun bank yang dimiliki termasuk kod pengesahan transaksi (TAC) yang diterima mangsa bagi tujuan siasatan.

“Mangsa kemudian membuat semakan di dalam akaunnya pada 31 Januari didapati RM70,000 telah lesap selepas suspek memindahkan wang tersebut ke akaun bank milik pihak ketiga.

“Menyedari dirinya telah tertipu, mangsa kemudian membuat laporan polis Khamis lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI