fbpx

Pekerja kilang tinggal bersesak dalam kontena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) melakukan pemeriksaan keatas tempat penginapan dan asrama pekerja asing dalam satu operasi khas di Kawasan Perindustrian Pengkalan Dua, Pusing hari ini. Foto - ZULFACHRI ZULKIFLI

BATU GAJAH – Sebuah kilang kejuruteraan di Kawasan Perindustrian Pengkalan Dua dekat Pusing di sini berdepan denda lebih RM100,000 selepas dikesan melakukan kesalahan mengabaikan kebajikan tempat tinggal pekerja warga asingnya.

Menerusi operasi khas dijalankan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak hari ini, pemilik kilang terbabit didapati mengabaikan aspek penginapan pekerja dengan tidak mempunyai perakuan penginapan.

Operasi turut disertai pegawai daripada agensi lain seperti Jabatan Kesihatan negeri, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Majlis Daerah Batu Gajah dan Polis Diraja Malaysia..

Pengarah JTK negeri Perak, Muhammad Fauzi Abd. Ghani berkata, pihak majikan juga tidak mematuhi peraturan tempat tinggal apabila menempatkan bilangan penghuni pekerja asing melebihi daripada jumlah yang ditetapkan.

Menurut beliau, walaupun majikan menyediakan kontena di dalam kawasan premis tetapi keadaannya tidak kondusif selain sesak.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat buah kontena diubah suai dijadikan tempat tinggal 40 orang pekerja dengan setiap kontena dihuni seramai 10 orang sedangkan jumlah dibenarkan adalah enam penghuni sahaja.

“Kita juga mendapati almari, tilam yang sesuai selain aspek kebersihan tempat tinggal tidak begitu memuaskan.

“Jadi, untuk kesemua kesalahan itu kita akan buka kertas siasatan untuk mengambil tindakan lanjut kepada majikan,” katanya kepada pemberita di sini.

Jelasnya, majikan tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 24D(3) Akta 446 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM50,000 dan penjara sehinga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi turut menggesa semua majikan mengambil langkah proaktif untuk hadir ke mana-mana pejabat cawangan JTK yang berdekatan untuk mendapatkan nasihat berhubung Perakuan Penginapan ini.

“Selain di Ipoh, kita mempunyai pejabat cawangan iaitu di Taiping, Kuala Kangsar, Tapah, Teluk Intan dan Setiawan, jadi tiada alasan untuk tidak dapat hadir atau sukar berhubung.

“Selain itu pihak majikan juga boleh menghubungi kita menerusi laman web dan ia lebih mudah,” ujarnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI