fbpx

Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh lengang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
S. Panimalar melakukan upacara keagamaan sempena sambutan Thaipusam di luar perkarangan Kuil Sri Subramaniar, Ipoh hari ini. UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Saban tahun Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh dekat sini tidak pernah sunyi daripada dikunjungi ratusan ribu penganut beragama Hindu bagi meraikan perayaan Thaipusam.

Bagaimanapun, kemeriahan perayaan sempena memperingati kelahiran Dewa Murugan itu berbeza tahun ini di kuil yang berusia lebih 100 tahun itu ekoran pandemik Covid-19.

Tinjauan di pekarangan kuil mendapati suasana lengang kerana penganut beragama Hindu tidak dibenarkan hadir melainkan hanya kira-kira 20 ahli jawatankuasa dan petugas yang dibenarkan berada di dalam kuil tersebut untuk melakukan upacara sembahyang.

Beberapa anggota polis juga dilihat berada di luar pekarangan kuil berkenaan untuk memantau keadaan bagi mengelakkan berlaku sebarang perkara tidak diingini.

Pengerusi kuil, M. Vivekanda berkata, situasi itu walaupun amat menyedihkan namun mereka akur dengan keputusan kerajaan sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya, ramai penganut beragama Hindu meluahkan rasa kecewa dan sedih kerana tidak dapat melakukan upacara keagamaan termasuk menyempurnakan nazar masing-masing.

“Selepas lebih 50 tahun, ini kali kedua perayaan Thaipusam disambut suram di kuil yang berusia lebih 100 tahun ini selepas perintah darurat 1969.

“Siapa sangka, kita akan berdepan dengan situasi sama sekali lagi, harap-harap wabak ini cepat reda dan kita boleh menyambut perayaan ini dengan meriah tahun hadapan,” katanya ketika ditemui di pekarangan kuil di sini hari ini.

Menurut beliau, ahli jawatankuasa juga mengambil inisiatif mengadakan Facebook live bagi membolehkan penganutnya mengikuti upacara sembahyang yang diadakan di kuil berkenaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI