fbpx

Unit Udara Bomba hantar 11 tan makanan untuk Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Orang di Asli Pos Bihai mengangkat bekalan makanan dari helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk diagihkan kepada penduduk kampung.

GUA MUSANG – Sebanyak 11 tan bekalan makanan dihantar kepada 368 keluarga Orang Asli di dua buah pos pedalaman di sini selepas jalan balak ke kampung itu rosak ketika musim tengkujuh dua bulan lalu.

Bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan barangan makanan lain itu dihantar kepada penduduk Orang Asli Pos Bihai dan Pos Belatim pada pukul 11.30 pagi tadi.

Semua bekalan makanan itu dihantar dengan dua buah helikopter Agusta Westland 189 dan Agusta Westland 139 milik Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berpangkalan di Subang, Selangor.

Pengarah Unit Udara JBPM, Nazili Mahmood berkata, operasi melalui udara itu dilakukan berikutan jalan balak ke kawasan berkenaan rosak dan jambatan runtuh akibat musim tengkujuh sejak dua bulan lalu.

Katanya, JBPM komited untuk membantu masyarakat terutamanya Orang Asli yang memerlukan bantuan di kawasan pedalaman.

“Unit Udara JBPM bersedia untuk beroperasi setiap masa ke seluruh negara bagi melaksanakan misi bantuan di lokasi yang terjejas.

“Kita berharap perkhidmatan udara khususnya kepada Orang Asli dapat mengurangkan kesengsaraan mereka khususnya yang terputus bekalan makanan dan juga perkhidmatan lain yang diperlukan seperti pemindahan perubatan (Medevac),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghantar bekalan makanan sumbangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kepada penduduk Orang Asli di Pos Bihai di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dan Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Roslina Bun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI